Isu Uyghur: Kerajaan didesak suarakan bantahan

    BUKIT GANTANG: Kerajaan Pusat didesak menyuarakan bantahan melalui saluran diplomatik berkenaan isu penindasan umat Islam Uyghur di Xinjiang, China, demikian gesa Naib Presiden PAS, Idris Ahmad.

    Advertisement

    “Situasi getir yang berlaku di sana memerlukan tekanan diplomatik daripada negara-negara Islam dan negara yang cintakan keamanan. Kerajaan China perlu menghentikan segera pembersihan etnik yang berlaku terhadap umat Islam Uyghur dan mengembalikan keamanan di wilayah itu.

    “Sila perhatikan di seluruh dunia tiada minoriti bukan Islam yang tinggal di negara-negara Islam dizalimi. Malangnya, umat Islam yang tinggal di Palestin, Myanmar, Khasmir, India, Selatan Filipina dan Pattani, Thailand menjadi mangsa penindasan non-Muslim.

    Penegasan demikian disuarakan beliau ketika menyampaikan ucapan sempena Himpunan Aman Selamatkan Bangsa Uyghur di perkarangan Masjid Ahmadi, Kampung Changkat Ibol, dekat sini selepas solat Jumaat tadi

    Katanya, umat Islam di Malaysia perlu mengambil pengajaran terhadap perkara yang berlaku di mana kelekaan kerana mengabaikan pegangan agama dan perpecahan akan menyebabkan tertindas di tanah air sendiri.

    Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria berkata, tiada jaminan penduduk asal di sesuatu tempat akan kekal menguasai wilayah mereka sebagaimana nasib yang menimpa bangsa Uyghur di China dan bangsa Arab di Palestin.

    “Sebenarnya, penindasan kepada bangsa Uyghur berlaku sejak tahun 1950-an lagi, namun dasar tertutup China dan tiada komunikasi yang baik telah menyebabkan penindasan mereka tidak diketahui umum.

    “Kekejaman yang berlaku kepada bangsa Uyghur lebih hina daripada binatang dan tujuan utama mereka untuk menghapuskan identiti asal peribumi wilayah yang asalnya bernama Turkistan Timur,” ujarnya.

    Dewan Pemuda PAS Perak pula menggesa Kerajaan Pusat mengambil perhatian isu Uyghur dengan mendesak Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) mengambil tindakan segera agar penderitaan yang ditanggung mereka ditamatkan.

    Ketuanya, Ustaz Mohd Faisal Ahmad Puait juga kecewa negara-negara Islam membiarkan isu ini tanpa sebarang tindakan dan mencadangkan OIC mengadakan sidang khas bagi mencari penyelesaiannya.

    Ketua Pemuda Umno Bahagian Bukit Gantang, Sollehin Mohd Tajie menggesa semua parti politik mengenepikan kepentingan masing-masing dan bersatu hati mengangkat isu penindasan bangsa Uyghur serta membela nasib mereka.

    Terdahulu khutbah berkenaan isu Uyghur telah disampaikan oleh khatib jemputan, Ustaz Muhammad Adlin Nasri Yusuf, manakala solat sunat hajat diimamkan oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Gantang, Muhammad Faisal Abdul Rahman.

    Turut hadir, Timbalan Ketua Penerangan PAS Perak, Abdul Qahar Shamsudin dan Pengarah Pilihan Raya PAS Perak, Mustafa Abdul Wahab. – HARAKAHDAILY 27/12/2019