Kaji semula Tabung Pinjaman Bencana

SAYA berpendapat bahawa Tabung Pinjaman Bencana yang diwujudkan sepatutnya disalurkan dalam bentuk bantuan terus kepada golongan sasaran seperti petani, pesawah dan penternak yang ditimpa bencana alam sehingga menjejaskan sumber pendapatan mereka.

Advertisement

Tabung Pinjaman Bencana yang diwujudkan perlu disemak semula secara menyeluruh dan adil tanpa membebankan golongan petani yang terjejas akibat fenomena alam seperti taufan, banjir dan lain-lain dalam negara ini.

Sejauh mana tabung pinjaman tersebut yang diperuntukkan sebanyak RM100 juta benar-benar disalurkan kepada golongan sasaran yang ditimpa bencana alam sehingga memusnahkan sumber pendapatan golongan tersebut? Adakah dana tersebut telah disalurkan kepada mereka yang ditimpa musibah banjir di seluruh negara baru-baru ini?

Tambahan pula, apa yang lebih menghairankan adalah bantuan ini disalurkan dalam bentuk pinjaman dengan kadar faedah empat peratus, bukan dalam bentuk bantuan terus.

Bukankah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membantu rakyat yang menghadapi sebarang bencana alam sehingga menjejaskan sumber pendapatan mereka? Adakah Kerajaan berhasrat untuk mendapatkan keuntungan hasil daripada pinjaman dana tersebut?

Justeru, saya menyarankan Kerajaan memberi bantuan terus kepada golongan sasaran yang ditimpa musibah bencana bukan menyalurkan dalam bentuk pinjaman.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB CHE ALIAS HAMID
Ahli Parlimen Kemaman – HARAKAHDAILY 27/12/2019