Matahari tunduk perintah, manusia pula ingkari Allah

BUKIT GANTANG: Fenomena gerhana matahari yang berlaku adalah bukti kekuasaan Allah S.W.T dalam menyusun pentadbiran alam semesta termasuk perjalanan tepat serta teratur bagi tiga makhluk ciptaan-Nya yang besar iaitu bumi, matahari dan bulan.

Advertisement

Tujuan gerhana matahari dan bulan terjadi adalah untuk menimbulkan kegerunan dan keinsafan kepada umat manusia terhadap Allah S.W.T.

Di mana ia juga memperlihatkan mengenai tiga ciptaan Allah ini tunduk serta patuh dengan perintah-Nya tetapi sebaliknya manusia sering ingkar dan berbantah-bantah dengan suruhan Pencipta mereka.

Demikianlah antara isi utama khutbah khas yang disampaikan oleh khatib undangan, Ustaz Muhammad Azilan Ismail sempena Solat Sunat Gerhana Matahari di Masjid Ahmadi, Kampung Changkat Ibol, dekat sini semalam.

Beliau selanjut menasihatkan kira-kira 150 jemaah yang hadir agar jangan bersikap sombong dengan Allah Taala dan wajib meninggalkan perkara-perkara yang haram, makruh dan lagha.

Sebaliknya seru beliau, mestilah sebagai Muslim untuk taat dengan memperbanyakkan amal soleh serta melipat gandakan ibadah seharian.

Ustaz Azilan menarik perhatian sidang hadirin apabila menyebut beberapa fakta saintifik berkenaan dengan matahari antanya jarak di antara matahari dan bumi sejauh 150 juta kilometer, manakala cahaya matahari pula sampai ke bumi dalam tempoh 8 minit.

“Ukur lilitan matahari sepanjang 1.4 juta km, lonjakan api di matahari setinggi 1,000 kilometer, suhunya sehingga 5,500 darjah celcius manakala suhu teras matahari pula sehingga 15 juta darjah celcius.

“Walaupun suhu matahari sudah terlalu panas, ia tidak dapat menandingi kepanasan api neraka,” jelasnya mengingatkan hadirin perbandingan itu.

Program solat sunat dan khutbah hari ini dianjurkan bersama oleh Jawatankuasa Masjid Ahmadi dan PAS Kawasan Bukit Gantang sesuai dengan saranan Pejabat Mufti Perak terhadap sunnah tersebut. – HARAKAHDAILY 27/12/2019