Persidangan Bantah Jawi: Polis keluar larangan

KUALA LUMPUR: Polis akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang masih berdegil meneruskan perhimpunan persidangan membantah tulisan jawi yang akan diadakan esok di Kolej New Era di Kajang.

Advertisement

Arahan itu dikeluarkan sejurus mahkamah meluluskan permohonan polis untuk mengeluarkan perintah larangan kepada Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) untuk tidak meneruskan persidangan tersebut.

Memetik laporan Metro Online hari ini, permohonan larangan perintah mahkamah itu dibuat oleh polis pada jam tiga petang tadi dan diserahkan kepada Persatuan Dong Zong pada jam lima petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, banyak laporan polis telah dibuat di seluruh negara berhubung persidangan tersebut.

Oleh itu katanya, demi menjaga dan mengekalkan ketenteraman dan keselamatan awam pihak polis telah memohon perintah mahkamah supaya mengelak daripada berlaku kejadian yang tidak diingini.

Ahmad Dzaffir menasihatkan orang awam supaya tidak hadir pada persidangan anjuran oleh mana-mana NGO sebagai tanda protes.

Beliau menyeru semua pihak menghormati undang-undang dan perintah mahkamah, malah katanya, polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang melanggar perintah mahkamah.

Polis juga mengesahkan penganjur telah memohon permit untuk mengadakan persidangan tersebut, namun pihak polis tidak meluluskan permohonan terbabit kerana tidak memenuhi syarat.

Justeru itu jika persidangan bantah jawi masih diteruskan, ia diklasifikasikan sebagai persidangan haram kerana tanpa permit. – HARAKAHDAILY 27/12/2019