Amerika: Frame dan psywar

AMERIKA VS Soviet

(1)     Umat Islam perlu berhati-hati dan berwaspada dengan perancangan musuh. Beberapa artikel saya sebelum ini ada menceritakan tentang Sunnah Nabi S.A.W yang terabai.

Antara Sunnah Nabi S.A.W yang ditinggalkan oleh umat Islam ialah kewaspadaan terhadap perancangan musuh. Seringkali terjerat dengan perangkap yang sama.

(2)     Dalam isu Uyghur kita perlu membaca sejarah yang panjang. Pertembungan antara Amerika dan Soviet 1947 hingga 1991. Amerika seolah-olah sudah fobia dengan pertembungan ini.

Lalu mereka merancang untuk memastikan supaya tiada lagi kuasa yang mendominasi  Eurasia. Hari ini apabila China bangkit sebagai satu kuasa ia menjadi kebimbangan  Amerika.

(3)     Apatah lagi China punyai cita-cita untuk melaksanakan agenda Belt And Road Initiative (BRI). Membuatkan Amerika tak sedap duduk terhadap persaingan ini.

Perlu ingat sejarah awal Komunism dan Sosialism yang dianuti oleh Soviet dilihat bertembung dengan Amerika yang berpegang dengan Kapitalisme Liberalism

(4)     Umat Islam tidak perlu untuk menjadi Sosialis untuk menentang Amerika Kapitalis begitu juga umat Islam tidak perlu menjadi Kapitalis untuk menentang Soviet Sosialis

Jadilah orang Islam yang beridealogikan Islam, melaksanakan Islam, mempunyai keperibadian Islam dan berjuang atas dasar Islam bukan berjuang atas dasar Amerika ataupun Soviet

Psywar Amerika

(1)     Sejak dulu mereka agak cerdik untuk mengatur strategi. Walaupun Amerika itu bapa pengganas, namun agak sejuk suara-suara yang mengkritik Amerika.

Agak banyak juga ciri-ciri permainan mereka yang hakikatnya menguntungkan Amerika. Contohnya mereka bersaing dengan Soviet dalam peristiwa perang Korea

(2)     Perang tersebut menyaksikan korban jutaan nyawa manusia yang tidak tahu kenapa aku mesti berperang, dan kenapa aku dibunuh. Disebabkan kegilaan kuasa yang bertembung, rakyat Korea menjadi mangsa.

Amerika dilihat selalu menang psywar. Walaupun empayar Soviet lebih luas dan kekuatannya lebih luar biasa berbanding Amerika, namun disebabkan kelicikannya Amerika menang psywar.

(3)     Kemenangan dalam dunia saraf ini akhirnya membawa kepada kemenangan Amerika sebagai kuasa besar. Banyak juga saraf yang dimainkan oleh Amerika untuk mengalahkan Soviet.

Antaranya menerbitkan filem-filem yang menanam pengaruh masyarakat dunia untuk mengecam Soviet. Poster-poster dalam bentuk kartun disebarkan ke seluruh dunia.

Menggambarkan Soviet itu adalah negara yang zalim dan pemerintahan yang kuku besi. Menyebabkan pemerintahan Soviet ditolak oleh dunia.

(4)     Bentuk-bentuk pemerintahan seperti Autoritarian, Totalitarian, Autokrasi dan sebagainya digambarkan sebagai pemerintahan yang zalim dan tertolak.

Proksi ala keldai

(1)     Apabila ada yang bangkit menolak sistem-sistem yang diperkenalkan oleh Soviet secara tak langsung menguntungkan Amerika.

Seolah-olah dunia telah terjerat antara dua pilihan sama ada nak berada di bawah cengkaman Soviet ataupun terpaksa memilih Amerika.

(2)     Disebabkan perencah-perencah yang dibubuh oleh Amerika, menyebabkan Soviet itu digambarkan terlalu kejam manakala Amerika dilihat sebagai penyelamat.

Hakikatnya Amerika itu tidak kurang jahatnya. Cumanya mereka itu adalah penjahat yang cerdik dan pandai menipu orang supaya dia tidak dikenali sebagai penjahat.

(3)     Amerika melakukan kejahatan dengan berselindung di sebalik proksi-proksinya. Maka yang dilihat jahat adalah proksinya bukan lagi Amerika.

Contohnya huru-hara di Libya, Sudan, Somalia dan sebagainya banyak dilakukan oleh proksi-proksi Amerika yang terdiri daripada negara-negara Arab atau kumpulan-kumpulan pengganas.

(4)     Maka ke-haru-biruan di negara-negara itu tidak dilemparkan tuduhannya kepada Amerika, akan tetapi dilihat sebagai perang saudara sesama orang Arab ataupun kumpulan-kumpulan Islam.

Demikianlah bagaimana Amerika sentiasa menjaga imejnya demi dikenali sebagai kuasa penyelamat dan seolah-olah bersih dari dosa.

Frame Amerika

(1)     Antara strategi atau frame Amerika yang pernah dilakukan seperti mewujudkan fenomena al-Qaeda. Hari ini pula nama kumpulannya ISIS.

Mana-mana negara yang ingin dihuru-harakan oleh Amerika, Amerika akan masuk dilapik dengan alasan memerangi pengganas al-Qaeda atau ISIS.

Disebabkan dua kumpulan inilah mereka seolah-olah ada lesen untuk menceroboh mana-mana negara. Kalau dulu, alasannya adalah nuklear, hari ini alasannya adalah teroris.

(2)     Saban hari mereka akan mempromosikan keganasan-keganasan ISIS dan al-Qaeda bagi menguatkan alasan mereka untuk menceroboh dan mencampuri urusan politik negara orang.

(3)     Antara frame Amerika yang lain, yang mungkin dilihat lebih kreatif, ialah menyerang sesuatu negara atas nama proksi sepertimana yang diceritakan tadi.

Kemudian apabila negara tersebut membuat serangan balas demi mempertahankan negaranya, mereka mula menyebarkan maklumat palsu ke dalam media.

Iaitu mengatakan bahawa negara tersebut telah membunuh rakyatnya sendiri. Frame ini dilihat dilancarkan oleh Amerika di Syria bagi menjayakan pemetaan semula Asia Barat.

(4)     Sebab itulah hari ini, yang dihidangkan kepada kita Basyar Asad adalah kejam. Hakikatnya ia adalah mainan Amerika. Maklumat yang sampai kepada kita juga turut disumbang oleh Amerika.

Antara game Amerika

(1)     Antara isu-isu yang terbaru sejak kebelakangan ini, antaranya ialah konflik di Syria. Media menghidangkan kepada kita bahawa Basyar Assad telah menggunakan bom kimia untuk membunuh rakyat sendiri.

Amerika pun bersidang menyatakan kekejaman Basyar Assad ini lalu Amerika melancarkan serangan ke Syria. Tak lama kemudian, Donald Trump mengisytiharkan Dataran Golan adalah milik Israel.

Apakah betul Basyar Assad menggunakan bom kimia kepada rakyatnya sendiri? Atau ia hanya sekadar mainan media Amerika untuk menjadi lapik yang kukuh untuk Amerika mencari gaduh dengan Syria.

(2)     Antara yang lain, isu Uyghur yang sedang terjadi pada hari ini, menggambarkan bagaimana Umat Islam seolah-olah tersepit untuk memperjuangkan hak.

Masing-masing mengecam China, tetapi seolah-olah terpaksa menguntungkan Amerika dalam pertempuran Amerika VS China pada hari ini.

(3)     Antara yang terjadi juga apabila Amerika telah lama merancang untuk membina Kurdistan Raya di celah-celah antara Syria, Iraq dan Turki.

Lalu dicetuskan keganasan dengan kumpulan ISIS. Kemudian ISIS ‘dihalau’ oleh YPS yang merupakan proksi Amerika juga. Turki telah pun melakukan tindak balas.

Yang terbaru, Syria juga mula bertindak balas terhadap kekacauan di sempadan Syria yang dilakukan oleh Amerika. Namun, Amerika mula bertindak pantas.

Amerika mula menyebar berita-berita Basyar Asad menyerang rakyat sendiri. Hakikatnya  kawasan yang diserang itu adalah ‘jagaan’ Amerika. Tetapi lain pula yang diberitakannya.

(4)     Sebab itulah dalam pergolakan di negara Arab, Amerika sentiasa cuba memposisikan diri mereka sebagai penyelamat dan bersih dari jenayah. – HARAKAHDAILY 28/12/2019

Advertisement