Dong Zong anti Jawi atau anti Islam?

GABUNGAN Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) menyelar pertubuhan subversif Dong Zong yang telah membuat perakuan secara jelas sebagai Islamofobia dalam satu forum yang dianjurkan oleh Gabungan Bertindak Malaysia (BGM) kelmarin.

Advertisement

GAMIS menolak dengan tegas alasan Setiausaha Agung Dong Zong, Ng Chai Heng yang menyatakan tindakan kerajaan memperkenalkan pembelajaran Tulisan Jawi di sekolah vernakular akan “mengislamkan” murid.

Pada kami, kenyataan ini sangat dangkal kerana Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) hanya memperuntukkan tiga muka surat yang mengandungi tiga baris perkataan sahaja. Tambahan pula, Tulisan Jawi tersebut telah sinonim dengan masyarakat iaitu:

-برسكوتو برتمبه موتو
-بڠك نڬارا مليسيا
-ريڠڬيت مليسيا

GAMIS dengan berani melabelkan Dong Zong sebagai Islamofobia kerana alasan yang diberikan oleh seorang setiausaha persatuan tersebut sungguh tidak tercapai dek akal. Kami yakin jawapan itu hanyalah untuk menyelamatkan diri sahaja. Lebih merisaukan kami, adakah Dong Zong ini hanya Islamofobia atau telah menjadi pertubuhan yang anti-Islam?

Sama ada Islamofobia atau anti-Islam, GAMIS mengecam sekeras-kerasnya persatuan Dong Zong kerana perkara ini tidak patut berlaku kepada mana-mana warganegara malaysia kerana Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan agama rasmi bagi negara Malaysia adalah Agama Islam.

Sebagai warganegara di sebuah negara yang telah 62 tahun mencapai kegemilangan merdeka,sepatutnya perkara seperti ini tidak berbangkit. Sungguh, Dong Zong bagai kaduk naik ke junjung.

GAMIS masih tetap berpendirian agar pihak bertanggungjawab mengharamkan persatuan ultra kiasu ini dan mengenakan tindakan undang-undang yang tegas kepada individu yang terlibat di dalamnya. GAMIS yakin dan percaya selagi mana persatuan rakus ini masih bertapak di negara Malaysia, mereka pasti akan terus mengganggu-gugat teras utama tanah air tercinta.

HARAMKAN DONG ZONG!

“Demi Islam, Mahasiswa Bangkit”

SAIFULLAH BIN BAIDURI
Presiden
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)

28 DISEMBER 2019 – HARAKAHDAILY 28/12/2019