Piala MB: Pasukan Exco lawan Ulamak

PERLAWANAN akhir bola sepak Piala Menteri Besar Kelantan bakal menyaksikan pertarungan sengit di antara pasukan Pengkalan Kubor menentang Tawang malam ini.

Advertisement

Kebetulan Adun Pengkalan Kubor, Ustaz Wan Roslan Wan Hamat merupakan Exco Kerajaan Negeri Kelantan, manakala, ADUN Tawang Dato Hassan Mohamood pula Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan.

Perlawanan akhir Piala Menteri Besar Kelantan dijangka dihadiri Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob akan dilangsungkan di Stadium Sultan Muhammad IV.

Sebanyak 45 pasukan dari 45 DUN bersaing selama sebulan melibatkan beberapa venue untuk menempah tempat perlawanan akhir.

45 pasukan tersebut merupakan juara di peringkat DUN dalam Liga Elit DUN Kelantan yang berlangsung sepanjang 2019.

Bolasepak Piala Menteri Besar menzahirkan Kelantan sesekali tidak menyekat aktiviti kesukanan dalam kalangan rakyat. Tinggal lagi sukan di Kelantan menitik beratkan soal pematuhan syariat bersesuaian dengan dasar Merakyatkan Membangun Bersama Islam.

Lebih daripada itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (Fam) turut menawarkan kepada Kerajaan Kelantan untuk menyenaraikan LED di bawah Liga FAM.

Cuma kerajaan melihat pengurusan lebih daripada 700 pasukan dalam Liga LED perlu diperkasakan mutu pengurusannya. Buktinya Kelantan tetap subur dengan aktiviti sukan dan rekreasi dianjurkan Kerajaan Negeri Kelantan antaranya sepaktakraw, e-sport, badminton, bola tampar dan lain-lain lagi.

Kemuncaknya tahun ini, Kerajaan Negeri menganjurkan temasya Karnival Sukan Kelantan sebagai persediaan menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) pada 2024.

Wanita juga tidak dipinggirkan dalam arus pembangunan sukan apabila pihak kerajaan negeri melalui Urusetia Belia dan Sukan Kelantan bakal menganjurkan temasya sukan wanita iaitu Nisa’ Game pada 2020.

Bagi Kejohanan Bola Sepak Piala Menteri Besar Kelantan, para pemain diseru bermain dengan semangat kesukanan yang tinggi dan menjaga etika permainan dan tidak menimbulkan sebarang elemen negatif.

Manakala, peminat-peminat sukan bola sepak diundang untuk memenuhi Stadium Sultan Muhammad IV pada jam 8.45 malam ini.

NASRUDDIN MAHMUD MUHAIDIN
Pengarah Urus Setia Belia dan Sukan Kelantan – HARAKAHDAILY 28/12/2019