Bahasa Cina mahu dijadikan bahasa rasmi Malaysia?

ADALAH satu fakta sejarah bahawa perjuangan menjadikan bahasa Cina sebagai salah satu bahasa rasmi Malaysia pernah menjadi perjuangan rasmi DAP.

Manifesto DAP di dalam Pilihan Raya Umum 1969 bertajuk ‘Our Triple Objective: Towards A Malaysian Malaysia’ menyatakan dengan jelas matlamat DAP untuk memberi taraf bahasa rasmi kepada bahasa-bahasa Cina, Tamil dan Inggeris jika ia berkuasa.

Dalam kempen-kempen beliau, Lim Kit Siang sendiri sering menekankan janji ini, antaranya dalam surat terbuka beliau kepada pengundi Melaka pada 7 Mei 1969 dalam mana beliau berkata:

“We want Chinese, English and Tamil to become official languages, so that they could be used in Parliamentary and State Assembly speeches, government correspondence, public notices, etc.”

(“Kami mahu Cina, Inggeris dan Tamil menjadi bahasa-bahasa rasmi, supaya ia boleh digunakan dalam ucapan-ucapan di Parlimen, Dewan Undangan Negeri, surat-menyurat kerajaan, notis-notis awam, dan lain-lain.”)

Begitupun selepas berlakunya Peristiwa 13 Mei dan kerajaan menjadikannya suatu kesalahan bagi sesiapa pun juga untuk mempersoalkan dengan secara terbuka isu-isu sensitif termasuk bahasa Kebangsaan isu ini sudah tidak lagi kedengaran.

Oleh itu, saya terkejut bila terperasan bahawa dalam tesis PhD Dr Ang Ming Chee masih ada rujukan terkini mengenai perjuangan menjadikan bahasa Cina sebagai salah satu bahasa rasmi Malaysia yang dikaitkan dengan Dong Jiao Zong.

Ini petikan tesis PhD tersebut:

“Dong Jiao Zong must tackle the more fundamental issues of installing Chinese language with the official status in the constitution, so as to secure its mission to protect the Chinese primary schools, support the independent secondary schools and develop the Chinese language tertiary education institution (维护华小 , 支持独中 , 发展高等教育)” .

(“Dong Jiao Zong mesti menangani isu-isu lebih asas untuk menempatkan bahasa Cina dengan status rasmi dalam Perlembagaan, bagi mengukuhkan misinya untuk melindungi sekolah-sekolah rendah Cina, menyokong sekolah-sekolah menengah Cina dan memajukan Institusi Pendidikan Tinggi berbahasa Cina”.)

Memang Dong Jiao Zong bercita-cita untuk jadikan bahasa Cina sebagai salah satu bahasa rasmi Malaysiakah?

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 29/12/2019

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

Advertisement