Isu gender: Catatan Fathi Yakan pada 1972

MASA depan yang gelap

(1)     Perbincangan tentang jantina pada hari ini tidak lagi terbatas dalam lingkungan teori semata-mata ataupun di dalam batasan konsep tradisional (klasik) bagi tajuk ini sahaja.

Ini kerana, dunia hari ini telah mengalami revolusi jantina yang dahsyat melampaui dan melangkaui semua sempadan dan ikatan.

(2)     Sehingga meletakkannya sebagai masalah (isu) yang paling besar dan penting di dalam kehidupan manusia. George Balasyi di dalam bukunya ‘Revolusi Jantina’ berkata;

“Sekarang ini setelah bahaya atom hilang daripada pemikiran kita, tidak ada perkara lain lagi yang paling membimbangkan melainkan meningkatnya pengaruh jantina di dalam kehidupan kita sehari-hari”

“Kita sentiasa bimbang apabila melihat gelombang telanjang dan serangan jantina yang tidak putus-putus menggoda manusia dengan tenaga yang luar biasa di mana setiap orang mungkin akan terjebak kepadanya jika tidak tersekat oleh ketakutan terhadap neraka, penyakit kelamin ataupun kehamilan”

“Setiap hari bertan-tan ‘bom jantina’ meletus membawa akibat yang membimbangkan. Ia bukan sahaja boleh membuatkan anak-anak menjadi binatang buas dari segi akhlak tetapi akan merosakkan masyarakat keseluruhannya”

(3)     James Raston dari New York Time menyatakan;

“Tenaga jantina pada akhirnya akan menjadi lebih merbahaya daripada tenaga bom atom”

(4)     Arnold Toinby seorang sejarawan Inggeris terkenal telah menekankan di dalam sebuah tulisannya bahawa kekuasaan nafsu jantina mungkin akan menyebabkan runtuhnya peradaban.

Kegilaan jantina

(1)     Inilah yang ditegaskan oleh Islam sejak dahulu lagi di mana Rasulullah S.A.W bersabda;

Advertisement



وما تشيع الفاحشة في قوم قط إلا عمهم الله بالبلاء

“Setiap kali tersebarnya keburukan (kekejian) di dalam sesuatu kaum, Allah akan meratakan bala kepada semuanya.”



(2)     Amerika, Eropah dan lain-lain negara di dunia sejak beberapa tahun akhir ini telah menyaksikan ‘kegilaan jantina’ yang membimbangkan.

Sama ada di dunia pakaian dan persolekan atau di dunia tulisan dan perfileman ataupun di dalam realiti hidup sehari-hari di pelbagai lapangan.

(3)     Mungkin esok perkara yang paling penting kepada seseorang individu ialah jantina. Pemuasannya akan menjadi matlamat dan cita-cita hidup yang tertinggi bagi kebanyakan orang.

Ketika itu jantina tidak lagi dikira sebagai hubungan bersentuhan di antara suami isteri atau di antara seorang lelaki dan seorang perempuan, bahkan ia akan meluas mencakupi bidang seni dan bakal menjadi peransang.

(4)     Isu jantina akan menjadi seperti makanan yang beraneka rupa dan rasa, beraneka rempah ratusnya yang tidak sekadar tunduk kepada perasaan ingin ataupun bagaimana, bahkan membebaskan dirinya daripada kebiasaan.

Pada hakikatnya kita hari ini mustahil dapat pergi ke sesebuah bandar tanpa terdedah kepada serangan jantina, sama ada berupa iklan di dalam berbagai ukuran kulit atau kulit majalah dan isinya.

Materialism punca isu gender

(1)      Antara yang lain, iklan filem-filem wayang, gambar-gambar yang dipamerkan di pintu kelab malam dan beribu-ribu gadis dan wanita yang memakai pakaian yang dianggap tidak senonoh satu ketika dahulu

Homoseksual, Lesbian, upacara perlakuan seks beramai-ramai, kahwin percubaan, cinta sebelum kahwin, rumah-rumah urut dan bar-bar.

Begitu juga kelab-kelab bogel, kelab malam dan majalah-majalah porno akan menjadi lambang keunggulan kepada majoriti manusia di seluruh dunia.

(2)     Revolusi jantina yang membimbangkan dan muncul sejak beberapa tahun yang lalu ini adalah hasil daripada nilai-nilai akidah pemikiran dan akhlak tertentu.

Ia tidak terjadi secara kebetulan sahaja, bahkan ia adalah natijah daripada satu hakikat. Umpama buah daripada satu pokok yang membesar dengan baja yang sama.

(3)     Berlakunya hal seperti ini telah pun diramalkan sejak sejarah awal falsafah Materialisme memasuki kehidupan manusia, iaitu semenjak putusnya hubungan antara manusia dengan pegangan.

Semenjak manusia mulai mengingkari kewujudan Allah, mereka mula mengingkari kewujudan sistem akhlak untuk kehidupan mereka. Bahkan mengingkari seksaan Tuhan terhadap tindakan yang mereka lakukan.

(4)     Semenjak saat itu manusia menjadi haiwan yang hidup dengan naluri untuk naluri, hidup dengan nafsu untuk nafsu, di mana dorongan baik tersekat dan tertidur.

Manakala dorongan jahat sedang terjaga dan aktif. Lalu jadilah nafsu syahwatnya sebagai matlamat yang utama;



إِنۡ هُمۡ إِلَّا كَٱلۡأَنۡعَـٰمِ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّ سَبِیلًا

“Mereka itu tidak lain hanyalah seperti binatang ternak bahkan mereka lebih sesat jalan nya iaitu dari binatang ternak itu.”

(al-Furqan: 44)



Kepincangan Materialism

(1)     Hilangnya fikrah agama daripada diri manusia, tergendala perundangan Allah S.W.T di muka bumi dan sistem perundangan itu dikuasai oleh teori-teori kebendaan (Materialism)

Ini menjadi faktor utama mengapa kafilah manusia tersimpang daripada jalan yang lurus, menuju jalan sesat dan terasing.

(2)     Faktor utama mengapa manusia hari ini sudah tersesat dalam memahami gender, terletak di atas bahu aliran falsafah kebendaan (Materialism)

Ini kerana idealogi ini telah mempersembahkan segala peluang dan kemudahan kepada semua orang untuk menyeleweng dan bertingkah laku luar biasa.

(3)     Manusia yang terdiri daripada unsur-unsur kebendaan, kerohanian dan mempunyai tuntutan jasmani serta kejiwaan, tidak mungkin dapat menikmati kerehatan selagi mana kesemua keperluan tersebut tidak dipenuhi.

Oleh kerana itu kita melihat manusia abad ke-20 yang terkejar-kejar memburu kepuasan bagi keinginan semula jadinya. Tetapi tidak tercapai apa yang dikejarnya itu.

Mungkin kerana telah mengabaikan salah satu bahagian terpenting dalam dirinya dan mengabaikan kehendak-kehendak tuntutan dirinya sendiri. Ia telah mempersia-siakan diri dan rohnya.

(4)     Aliran-aliran kebendaan (materialism) telah gagal teruk dalam agenda percubaan mereka memberikan ketenangan dan kebahagiaan kepada manusia.

Tamadun baru walaupun banyak kejayaan sains yang dicapai, tetap tidak dapat memenuhi kekosongan di dalam kehidupan manusia bahkan banyak menimbulkan kerosakan.

Keruntuhan tamadun

(1)      Apa yang menyebabkan bertambahnya bilangan pesakit jiwa yang boleh disaksikan kejadiannya pada angka-angka di klinik sakit jiwa di seluruh dunia?

a-     Marilyn Monroe, salah seorang wanita tercantik abad ke-20 menduduki puncak simbol seks yang tidak pernah dapat dicapai oleh wanita lain.

Pada 1962 disebabkan merasa bahawa dirinya akan pudar kecantikannya dan akan layu kemasyhurannya, lalu membunuh diri supaya ‘tidak tua’.

Apa yang berlaku kepada Marilyn Monroe itu juga telah berlaku kepada beratus-ratus korban jantina lagi masing-masing mengakhiri hayatnya dengan membunuh diri di sana sini.

b-     Di Sweden dalam bulan Februari 1964 telah berlaku satu isu hangat apabila 140 orang doktor menghantar memorandum kepada Parlimen menuntut supaya mengambil langkah menyekat kekacauan jantina yang mengancam umat.

Mereka menuntut supaya dibuat undang-undang menyelesaikan penyelewengan jantina yang berleluasa di situ.

c-     Pada bulan Mei 1964 pula lebih 2000 orang Inggeris telah mengadakan tunjuk perasaan menuntut supaya siaran radio dan televisyen mereka dibersihkan daripada pencemaran jantina.

Dalam satu pertemuan, seorang juruhebah berkata di luar negeri terdapat orang-orang yang bercita-cita hendak meruntuhkan asas moral negaranya

d-     Hingga di China pengikut-pengikut Mao merasakan perlu mengambil satu tindakan yang meluas terhadap ‘cinta jasmani’ yang bersifat anti sosial.

e-     Demikian juga di Rusia, Jerman Timur dan beberapa negara blok Komunis lain terdapat rasa perlu memberikan penilaian semula terhadap masalah cinta jasmani dan akhlak individu.

Presiden Kennedy pada tahun 1962 membuat penjelasan bahawa masa hadapan mereka di dalam bahaya kerana para pemudanya banyak yang tergelincir di dalam hawa nafsu dan tidak dapat menilai tanggungjawab yang sepatutnya.

Kerosakan ini sudah tentu sukar dibetulkan selagi idea yang tertegak dan sistem yang berkuasa itu adalah idea dan sistem Materialism yang tidak berakhlak

*Diadaptasi dari buku الاسلام والجنس karangan Fathi Yakan pada 1972HARAKAHDAILY 29/12/2019