Jalinan Sutera Kasih bersama Orang Asal

BALING: Kedamaian Daerah Baling yang jauh dari hiruk-pikuk kota, menyambut kehadiran NGO Pertubuhan Nur Fitrah (Nur Fitrah), PERKIM UPC dan I-MAS ke Perkampungan Orang Asli Lubuk Legong, di sini kelmarin dahulu.

Advertisement

Aktiviti kebajikan dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN Bayu ini bertujuan menyelami kehidupan masyarakat Orang Asal menerusi program Jalinan Sutera Kasih sempena sesi persekolahan 2020, di Dewan Serbaguna Kampung Lubuk Legong.

Melalui aktiviti sebelah pagi, telah berlangsung slot Kanak-kanak Bahagia di mana menyaksikan kreativiti anak-anak comel menterjemahkan idea santai mereka melalui lukisan yang kebanyakannya bermotifkan kehidupan desa.

Sementara itu, suatu istimewa kepada masyarakat di sini apabila fenomena gerhana matahari yang berlaku memberi kesempatan mereka melaksanakan solat sunat ‘khusuf’ dengan berimamkan Ustaz Mohd Abduh Abu Samah.

Seterusnya selepas Zohor pula, Nur Fitrah bersama para ustazah serta kaunselor telah mendekati kaum ibu masyarakat Orang Asal Kensui dengan membimbing mereka dari sudut fiqh dalam slot Suci Dalam Debu dan diikuti slot Art Therapy.

Pada sebelah petang ADUN Bayu, Abdul Nasir Idris berbesar hati untuk turut sama beramah-mesra dan menyampaikan barangan keperluan harian hasil sumbangan orang ramai kepada masyarakat Orang Asal di sini.

Pengerusi Pertubuhan Nur Fitrah, Dr Safinar Salleh berkata, penganjuran program ini dapat mendekatkan masyarakat dengan Orang Asal agar terjalin matlamat menyampaikan dakwah melalui pendidikan dan kebajikan.

“Saya mengharapkan agar masyarakat Orang Asal di seluruh Malaysia turut mendapat pendidikan yang sempurna sebagaimana di bandar agar kesejahteraan negara dapat dinikmati semua  golongan rakyat,” jelas beliau semasa menyampaikan bantuan persekolahan.

Pertubuhan Nur Fitrah adalah sebuah NGO yang sering menjalankan aktiviti pendidikan dan kebajikan kepada masyarakat di mana turut melibatkan masyarakat Orang Asal di Semenanjung Malaysia serta Peribumi Sabah dan Sarawak. – HARAKAHDAILY 29/12/2019