Kebangkitan semula Kalam Al-Wardah di Pasir Salak

PASIR SALAK: Kalam Al-Wardah merupakan majalah rasmi dikeluarkan Lajnah Penerangan Dewan Muslimat PAS Kawasan Pasir Salak sejak 2007 hingga 2016 dan kembali diterbitkan semula pada tahun ini.

Advertisement

Ia berkonsepkan info semasa yang utama dan dekat di hati masyarakat dalam mencapai tujuan mendidik kepada ilmu Islam dan perkara berkaitan maklumat terkini dari pelbagai segmen seperti berita setempat, negeri dan nasional.

Oleh itu, sebagai kebangkitan semula dengan motivasi baharu,  Muslimat PAS Pasir Salak telah menganjurkan Majlis Jamuan Akhir Tahun dan Penyampaian Sijil Sidang Redaksi Kalam Al-Wardah 2019/2020 di Chenderong Balai, di sini baru-baru ini.

Menurut Ketua Penerangan Muslimat PAS Pasir Salak, Qatrunnada Mohd Latfi, ia bertujuan untuk memberi nafas baru Kalam Al-Wardah yang berwajah baru, lebih segar dan dekat di hati masyarakat.

Kata beliau, ia juga berhasrat bergerak selangkah lagi ke hadapan untuk menjadikan Sidang Redaksi Kalam Al-Wardah sebagai kumpulan rasmi dan berpengalaman yang diiktiraf di pelbagai peringkat menjangkaui kawasan sendiri.

Pelancaran sidang redaksi Kalam Al-Wardah telah dirasmikan oleh Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Negeri Perak, Ustazah Hasna’ Abd Samad diiringi Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Muslimat PAS Perak, Hanim Md Zin.

Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa Lajnah Penerangan merupakan tunjang utama dalam perjuangan PAS dan kini menyebarkannya dalam bentuk risalah, malah kehebatannya ditonjolkan di alam maya seperti facebook, twitter, telegram dan sebagainya.

“Dengan cara konvensional iaitu cara lama dengan menziarahi rumah ke rumah, bergaul cara lama, bercerita cara lama adalah pengaruh yang hebat dalam penerangan,” ujarnya lagi.

Majlis berlangsung dengan pembukaan bacaan doa, tayangan slide kerangka baru sidang redaksi Kalam Al -Wardah, gimik pelancaran majalah dan penyampaian sijil dan cenderahati kepada sidang redaksi yang telah dilantik.

Diselitkan juga pertandingan masakan puding dan gubahan bahan buangan serta diceriakan lagi dengan slot kuiz muslimat serta jamuan akhir tahun Dewan Muslimat.

Pimpinan PAS Pasir Salak yang turut serta dalam majlis ini ialah Timbalan Yang DiPertua, Ustaz Jamaludin Yahya dan Ketua Penerangan, Zaidi Haris, Ketua Muslimat, Jamaliah Sudin serta Ketua dan Ahli Jawatankuasa Muslimat Cawangan.

Majlis berakhir dengan jamuan dan sesi bergambar oleh Dewan Muslimat PAS Kawasan. – HARAKAHDAILY 29/12/2019