Muslimat mahu semai AKIFI dalam masyarakat

RAUB: Dewan Muslimat PAS Kawasan Raub telah menjayakan Munajat AKIFI bertempat di Masjid Al-Hidayah FELDA Tersang Satu, di sini baru-baru ini.

Advertisement

Ianya merupakan program peringkat Zon Pahang Barat melibatkan empat Kawasan iaitu Bentong, Lipis dan Cameron Highlands serta Raub selaku tuan rumah.

Menurut Pengerusi Lajnah Tarbiyah Muslimat PAS Raub, Ustazah Shibrah Huda Amer, pemilihan Raub memandangkan ia berada di tengah Zon Pahang Barat.

Jelasnya, ia bertujuan memudahkan kehadiran ahli-ahli Muslimat PAS dari Kawasan-kawasan tersebut di mana lebih 200 peserta telah menyerikan majlis itu.

Program ini telah diisi oleh Ketua dan Naib Ketua Muslimat PAS Malaysia iaitu Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh dan Ustazah Salamiah Mohd Nor.

Ustazah Nuridah sendiri telah memimpin solat berjamaah dan perjalanan munajat yang turut dihadiri Ketua Wanita Umno Bahagian Raub, Zuriani Yahya.

Kata Ustazah Nuridah, tujuan munajat itu untuk menterjemahkan AKIFI yang berasal dari gabungan perkataan ‘alim, haraki dan sufi dalam kehidupan masyarakat.

Apatah lagi ujarnya, kepada masyarakat yang semakin hilang arah supaya kembali kepada Islam dengan ilmu dan amal berteraskan al-Quran dan as-Sunnah. – HARAKAHDAILY 29/12/2019