Pejuang Islam mesti mengakhiratkan amalan dunia

TAMBUN: Ahli PAS mestilah sentiasa memahami bahawa dunia ini adalah perkara yang tidak memberi manfaat selepas kematiannya, maka segala amal di muka bumi mestilah diniatkan dengan landasan akhirat.

Advertisement

Penceramah jemputan, Ustaz Huri Alias mengingatkan, sebagai Muslim dan juga amilin PAS, hendaklah sentiasa mentarbiyah jiwa untuk ‘mengakhiratkan’ dunia melalui cara yang diajar Rasulullah, iaitu dengan pengaruh niat.

“Jika kita nak bina tingkap di rumah supaya angin masuk, ia rugi. Tetapi niatkan bina tingkap itu untuk kemudahan mendengar azan. Jika kita niat mendengar azan, azan pun kita dengar, angin pun masuk sekali, dua-dua dapat.

“Begitulah analogi bahawa jika suatu perkara amal dunia diniatkan untuk akhirat, pasti keduanya kita akan gapai,” ujarnya di program Iftar Jamaie dan Solat Hajat PAS Zon Tanjung Rambutan, di sini baru-baru ini.

Dalam ucapannya, beliau juga turut mengambil kesempatan mengingatkan bahawa setiap ahli PAS hendaklah sentiasa bermuhasabah dengan cara senantiasa memperingati mati.

“Ingat mati ini tuan-tuan, bukannya kita menung dan tanya bila nak mati? Tetapi dengan cara mengandaikan kita ada masa hidup satu jam, apa yang kita akan buat dalam satu jam tersebut?

“Orang ramai akan jawab untuk segera bertaubat, berbuat amal, bersedekah sebanyak mungkin. Tetapi itu semua ketika kita tahu kita ada masa lagi satu jam untuk hidup. Hakikatnya kita pernah buat dan rasa begitu? Jika tak ada, maknanya tuan-tuan tak ingat mati lagi!” ujarnya.

Terangnya lanjut, PAS sentiasa bertegas menegakkan akidah Allah dengan menangkis segala bentuk ideologi sesat seperti liberalisme, pluralisme, dan lain-lain lagi yang menyerang minda dan akidah umat Islam.

Serunya, sebagai seorang pejuang mestilah sentiasa membetulkan niat dan meyakini Muafakat Nasional terbentuk untuk menjaga tali Allah dan membantu ke arah kebaikan tanpa agenda tersembunyi.

Program itu berjaya mengumpulkan 300 hadirin antaranya Ketua Ulamak PAS Kawasan Tambun, Ustaz Rusdi Saad ahli PAS Tambun serta wakil pimpinan Umno Bahagian Tambun. – HARAKAHDAILY 29/12/2019