Persaingan kuasa besar di era kerasulan

ABRAHAH dan persaingan pengaruh

Di dalam mukaddimah kitab Ar Rahiq Al Makhtum Syeikh Sofiurrahman Al Mubarakfuri ada menceritakan tentang suasana geopolitik pertembungan antara Rom dan Parsi

Pertembungan ini melatari zaman awal sirah Nabi Muhammad S.A.W. Nabi Muhammad S.A.W hidup membesar di Makkah dalam suasana kekampungan.

Baginda S.A.W lahir pada Tahun Gajah. Kerana ketika itu Makkah diserang oleh Abrahah yang merupakan tentera bergajah. Antara sebab serangan tersebut adalah persaingan pengaruh.

Walaupun Abrahah yang datangnya dari Yaman bukanlah kuasa besar yang mempunyai pengaruh yang kuat. Justeru Abrahah cuba mencari jalan untuk menguatkan pengaruhnya.

Antaranya dengan membina sebuah gereja bagi menandingi Kaabah yang ada di Makkah. Tujuannya untuk menarik perhatian Kabilah Arab untuk mengerjakan haji di gerejanya.

Usaha tersebut gagal, menyebabkan Abrahah bertindak menyerang Ka’bah yang berada di Makkah. Sejarah ini menggambarkan bagaimana tahun kelahiran Nabi dilatari oleh persaingan pengaruh.

Sekalipun Makkah dan Yaman bukanlah dianggap sebagai kuasa besar yang mendominasi isu politik dunia. Tetapi boleh dikatakan dia adalah isu politik negara Arab.

Walau bagaimana persaingan di negara Arab, masih lagi wujud persaingan di peringkat antarabangsa iaitu antara Rom dan Parsi sejak abad kedua Masihi lagi.

Rom VS Parsi di awal kelahiran Baginda S.A.W

Sejak kemunculan Alexender Macedonia (356-323 SM) menyaksikan bagaimana beliau membawa kejayaan kepada Rom menguasai Parsi dalam masa yang singkat.

Namun, Parsi melakukan tindak balas selepas daripada itu, dan memperolehi kemenangan demi kemenangan khususnya di zaman Nabi S.A.W.

Parsi berada di kemuncak kemenangan khususnya pada 615-620 Masihi, dan ketika itu Nabi S.A.W masih berada di Makkah (sebelum Hijrah). Persaingan Rom VS Parsi diikuti sendiri oleh Baginda S.A.W dan para Sahabat R.A.

Pada 571-592 Masihi merupakan salah satu daripada siri pertembungan antara Rom dan Parsi. Nabi Muhammad S.A.W lahir pada April 572 Masihi.

Dalam siri pertembungan itu, berlakunya perjanjian damai antara kedua-duanya. Perjanjian damai ini tidak dipersetujui oleh kerabat Diraja Parsi dan juga geng tentera.

Parsi ketika itu diperintah oleh Hormidz IV dan panglimanya ialah Bahram. Pengaruh Bahram lebih kuat, menyebabkan beliau bertindak menggulingkan Hormidz IV

Perang Saudara ini dikenali sebagai Perang Saudara Sasaniyah antara 589-591 Masihi. Hormidz IV dibunuh dan digantikan oleh anaknya, Shahanshah Kisra II.

Bahram sekali lagi timbul dan menggulingkan Kisra II sehinggalah beliau berjaya naik takhta. Manakala Kisra II melarikan diri ke Rom.

Perang Saudara Byzantium di awal kenabian

Kisra II lari ke Rom dan meminta bantuan daripada Maharaja Rom ketika itu, yang dikenali sebagai Maharaja Maurice. Bantuan diberikan dan gabungan Rom dan Kisra II berjaya menggulingkan Bahram.

Setelah penggulingan, Rom dan Parsi mengadakan genjatan senjata sekali lagi. Rom yang dipimpin oleh Maurice, dan Parsi yang dipimpin semula Kisra II hasil bantuan Rom.

Namun, gencatan tersebut berakhir pada 602 Masihi apabila Maharaja Maurice dibunuh oleh Pochas. Pochas merupakan Panglima perang, menyimpan dendam akibat krisis di Avar.

Lalu, Pochas pun naik takhta sebagai Maharaja Rom. Hal ini diketahui oleh Kisra II yang pernah terhutang budi dengan Maurice. Lantas Kisra II (Parsi) menyerang Rom menuntut bela atas pembunuhan tersebut.

Bukan setakat itu, beberapa Gabenor Rom yang berada di wilayah-wilayah juga turut melancarkan revolusi menentang Pochas yang berpusat di Konstantinopel.

Antara Gabenor Rom yang bangkit menentang Pochas pada 608-610 Masihi ialah Hireclius I yang menjadi Gabenor di Afrika Utara.

610 Masihi merupakan tahun Nabi Muhammad S.A.W menerima wahyu pertama di Gua Hira’, Makkah. Ketika itu era pemberontakan terhadap Pochas di Rom.

Gerakan Kisra II dari Parsi telah berjaya menguasai Timur Tengah dan dari Mesopotamia hingga Anatolia. Manakala Heraclius I yang isytihar bebas dari pengaruh Rom Byzantium menguasai Afrika Utara.

Kisra II VS Heraclius II

Heraclius menghantar anaknya, Heraclius II untuk masuk ke Konstantinopel menggulingkan Pochas. Usaha itu dilihat mudah, apabila masyarakat Konstantinopel sendiri menyokong usaha penggulingan tersebut.

Heraclius II ditabalkan sebagai Maharaja Rom yang baru, manakala Pochas dijatuhkan hukuman bunuh. Heraclius II bertindak untuk berdamai dengan Kisra II Parsi.

Namun, Kisra II menolak perdamaian tersebut kerana menganggap Heraclius tidak patut menaiki takhta. Sepatutnya takhta perlu diberikan kepada anak Maurice, Theodosius.

Lantas Kisra II melancarkan serangan terhadap Rom yang diperintah oleh Heraclius II sehingga menyebabkan kekalahan yang teruk pada Rom pada 612 hingga 614

Beberapa wilayah Rom jatuh ke tangan Parsi, antaranya Utara Syam, Syria dan Palestin. Orang-orang Yahudi yang bertindak menyokong Parsi bertentangan dengan Rom Byzantium.

Rom Byzantium merupakan pemerintahan yang menganut fahaman Kristian, sejak penyelewengan Injil pada 322 Masihi. Manakala Parsi pula menganut fahaman Majusi, penyembahan api dan berhala.

Sepatutnya geng Yahudi menyokong Blok Rom, namun disebabkan kebencian mereka dengan ‘agama baru’ Kristian itu menyebabkan mereka menyebelahi Blok Parsi.

Pada 615-617 Parsi mula menguasai jalan darat yang menghubungkan Konstantinopal, Timur Tengah dan Afrika Utara seterusnya merempuh Anatolia dan Chalcedon yang betul betul berhampiran Konstantinopal.

Nabi S.A.W membina blok sendiri

Ketika persaingan sengit itu berlangsung, Nabi S.A.W tidak hanya memerhatikan ‘gelagat dunia’. Akan tetapi bertindak membina blok sendiri.

Pada 615 dan 617, Nabi S.A.W menghantar kumpulan untuk berhijrah ke Habsyah. Di saat itu jugalah Rom sudah semakin goyang diserang tubi oleh Parai.

Setelah serangan yang berasak oleh Parsi pada era tersebut, akhirnya Heraclius pun mengambil pendekatan berdamai dengan Parsi dan bersedia menjadikan Rom di bawah naungan Parsi.

Namun, rundingan tersebut tidak menjadi, Parsi membatalkan niat untuk menyerang Konstantinopel ketika itu dan masuk ke Mesir pada 618 sekalipun Konstantinopel hanya menanti rebah.

Parsi yang dipimpin oleh Kisra II ketika itu menguasai banyak wilayah Rom, manakala Rom seolah-oleh hanya tinggal Konstantinopel sebagai kubu akhir.

Dunia sedang memerhatikan persaingan dua kuasa besar ini. Selain daripada geng Yahudi yang menyebelahi blok Parsi, kabilah-kabilah Arab juga turut sama menyebelahi blok itu.

Blok Parsi tidak kuasai Arab ketika itu, mereka dilihat menguasai bahagian persisir pantai Laut Hitam, sehinggalah ke Yaman. Suasana geopolitik ini tidak terhenti setakat itu.

Di saat kejatuhan Rom inilah, Allah S.W.T menurunkan Surah Rom, yang menceritakan tentang kemenangan Blok Rom, sedangkan di saat itu mereka berada di ambang kejatuhan.

Penurunan Surah Rom

Nabi Muhammad S.A.W dan Para Sahabat R.A yang masih di Makkah ketika itu lebih cenderung kepada Rom yang merupakan golongan ahli kitab.

Manakala Quraisy Makkah menyebelahi Parsi disebabkan idealogi yang sama. Secara sejarahnya, orang-orang Parsi dahulunya menyembah dewa dan berhala.

Namun setelah kemunculan Zarathustra atau Zoroaster (628-551 SM), beliau telah mengubah masyarakat Parsi menyembah Tuhan yang satu.

Namun, akhirnya ajaran itu membawa kepada penyembahan api dan matahari yang merupakan simbol cahaya, dan bersifat menerangi.

Para Sahabat R.A ternanti-nanti bilakah Rom akan menang sepertimana yang disebutkan oleh al-Quran. Bukanlah bermaksud Rom itu di pihak yang benar.

Akan tetapi Rom Byzantium yang merupakan ahli kitab itu lebih bagus sedikit berbanding idealogi Parsi yang menyembah api dan matahari.

Apa yang disebutkan oleh al-Quran sebelum hijrah Nabi S.A.W tentang kemenangan Rom itu bakal menjadi kenyataan. Persaingan antara Rom dan Parsi masih berlarutan.

Namun, pada 622 ketika berlakunya penghijrahan Nabi S.A.W ke Madinah, menyaksikan bagaimana Rom bangkit mengalahkan Parsi.

Kebangkitan blok Rom

Wilayah-wilayah Parsi semakin jatuh ke tangan Rom. Pada 624 Masihi, ketika mana berlakunya Perang Badar, pada masa yang sama Heraclius sekali lagi cuba mengutuskan surat perdamaian dengan Kisra II Parsi.

Namun, perdamaian itu ditolak oleh Parsi. Perang diteruskan. Parsi membuat cubaan kedua pada 626 untuk mara dan mengepung Konstantinopel ketika itu

Akhirnya perancangan itu menemui kegagalan. Asakan Rom antara 624 hingga 628 menyaksikan kekalahan Parsi yang sangat dahsyat, benar sepertimana yang dinyatakan oleh al-Quran.

Di saat Rom berada di puncak kemenangan, dan Parsi di ambang kerobohan, Nabi Muhammad S.A.W muncul di tengah-tengah persaingan kuasa besar itu.

Baginda S.A.W mengutuskan surat kepada Heraclius II dan Kisra II mengajak supaya beriman kepada Allah S.W.T iaitu pada 628 Masihi setelah Perjanjian Hudaybiyah.

Nabi Muhammad S.A.W mengutuskan Dehyah al Kalbi untuk membawa surat tersebut. Heraclius II memberi respons yang baik, cuma masih mengekalkan agama Kristiannya.

Nabi mengutuskan surat kepada 5 pembesar dunia, iaitu Rom, Parsi, Bahrain, Mesir dan Abessinia. Kesemuanya memberi respons yang baik terhadap surat Baginda S.A.W kecuali Parsi.

Parsi yang dipimpin oleh Kisra II mengoyakkan surat Baginda S.A.W dan mengutuskan dua orang kepada Banginda S.A.W untuk membalas surat tersebut.

Setibanya mereka berdua kepada Nabi S.A.W, Baginda S.A.W memberitahu dua utusan tersebut bahawa Kisra II sudah pun mati, sedangkan kedua-dua utusan itu sendiri tidak mengetahui.

Blok Islam mengalahkan Rom dan Parsi

Kisra II dibunuh oleh anaknya sendiri Kavadh II akibat dendam terhadap bapanya. Setelah membunuh bapanya, beliau diangkat menjadi Raja Parsi.

Kavadh II mengambil pendekatan berdamai dengan Heraclius II sebagai tanda kesudahan perang antara Rom Byzantium dan Parsi.

Selepas era tersebut, Parsi semakin meranap sedikit demi sedikit akibat Perang Saudara yang berpanjangan. Akhirnya Parsi jatuh di tangan Islam pada zaman Saidina Abu Bakar R.A.

Islam membina bloknya yang tersendiri dan tidak fanatik dengan kuasa Rom. Pada 629 Nabi S.A.W mengutuskan Harith bin Umair ke Iraq untuk menyampaikan Islam.

Iraq ketika itu di bawah pemerintahan Rom. Namun, di tengah jalan, Harith bin Umair dibunuh oleh pemerintah Iraq yang baru naik. Lantas Nabi S.A.W lancarkan serangan terhadap Rom yang dinamakan Perang Mu’tah.

Dalam perang yang dahsyat itu, diakhiri dengan Umat Islam yang berjaya meloloskan diri dan berundur. Namun, Rom masih tidak berpuas hati.

Mereka merancang untuk menyerang sekali lagi Umat Islam kerana rasa tercabar dengan Perang Mu’tah. Nabi S.A.W mengumpulkan Umat Islam menuju ke Tabuk pada 631 M.

Walau bagaimanapun, Rom Byzantium mengaku kalah, dan Umat Islam pulang membawa kemenangan. Bahkan siri pertembungan dengan Rom berterusan.

Memang benar, ketika zaman Nabi S.A.W, apabila bertembungnya Rom dan Parsi, Baginda S.A.W menyebelahi Blok Rom. Akan tetapi ia bukan menjadi bukti Islam itu di bawah pengaruh Rom. – HARAKAHDAILY 29/12/2019

Advertisement