Gunting rambut sebelum ke sekolah UKJ Sg Tua

GOMBAK: Dewan Pemuda PAS Kawasan Gombak dengan kerjasama JPrD Sungai Tua telah mengadakan program kebajikan Gunting Rambut Percuma di Noss Barbershop, berhadapan parkir bas RapidKL Gombak Permai.

Seramai lebih 50 kanak-kanak telah menyertai program tersebut yang nyata telah menggembirakan mereka kerana bakal menempuh sesi baru persekolahan 2020 beberapa hari lagi pada program, di sini semalam.

Advertisement



Timbalan Ketua UKJ Sungai Tua, Abdul Razak Ramli selaku Pengarah Program berkata, inisiatif ini tercetus hasil dari kesinambungan program Kembali Ke Sekolah yang telah diadakan baru-baru ini.

“Kita mempunyai lebihan dana yang terkumpul dari sumbangan orang ramai yang begitu prihatin dengan nasib anak-anak yang kurang berkemampuan untuk memasuki alam persekolahan sesi 2020 ini.

“Sekali gus kami di pihak UKJ Sungai Tua dan JPrD Sungai Tua terpanggil untuk mengambil insiatif untuk menganjurkan program gunting rambut percuma seperti ini.

“Umum mengetahui, kos sara hidup negara kini semakin meningkat dan kami berharap dengan program kebajikan seperti ini dapat sekurang-kurangnya meringankan bebanan ibu bapa bagi menghadapi sesi persekolahan yang baharu ini.

“Kami ingin pelajar nampak segak dan berkeyakinan pada hari pertama persekolahan, dan sudah pasti memberikan kegembiraan buat ibu bapa mereka,” ujarnya lagi.

Turut memeriahkan program ini ialah Timbalan Yang DiPertua PAS Gombak Ustaz Hasbullah Ridzwan dan Pengarah JPrD Sungai Tua, Damanhuri Dol serta Ketua Pemuda PAS Gombak, Ustaz Taufik Yusof.

Juga hadir adalah mantan calon PAS N.16 Sungai Tua, Ustaz Mohammad Ibrahim dan juga Ketua UKJ Sungai Tua merangkap Pengerusi Lajnah Kebajikan Pemuda PAS Negeri Selangor, Muhammad Azwan Mohd Kamaruzaman. – HARAKAHDAILY 30/12/2019