Kerajaan PH malapetaka besar buat umat Islam

TANGGAL 9 Mei 2018, bermulalah era baru bagi negara Malaysia apabila Kerajaan Barisan Nasional (BN) berjaya ditumbangkan. Kini hampir setahun setengah, Pakatan Harapan (PH) memerintah Malaysia.

Di awal pasca kemenangan, terlihat wajah kegembiraan di raut wajah rakyat khususnya para pengundi dan pendukung PH. Ia diterjemahkan dalam tulisan dan ciapan di media sosial.

Laksana Pak Kadok kalah sabung, menang sorak kampung tergadai. Hari ini, golongan ini bingung tetapi pura-pura macho dengan berkongsi menu makanan, tanaman bunga dan petua rumahtangga  di media sosial mereka.

Jauh di sudut hati mereka, cukup terseksa dan amat menyampah dan menyumpah dengan apa yang berlaku. Barangkali mereka terlepas pandang hadis Nabi S.A.W ini:

Advertisement

“Dari Abu Hurairah R.A berkata, Rasulullah S.A.W bersabda, Di akhir zaman nanti akan muncul para dajjal, para pendusta. Mereka mendatangi kamu dengan perkataan yang tidak pernah kamu dengar, juga bapa-bapamu. Hendaklah kamu waspada, jangan sampai mereka menyesatkan kamu dan jangan sampai mereka mendatangkan fitnah bagi kalian.”

(HR. Muslim)



Tulisan ini tidak ingin menyentuh soal manifesto bulan bintang PH yang gagal ditunaikan, sebab kata mereka manifesto bukanlah kitab suci. Tulisan ini memaparkan kebobrokan Kerajaan PH khususnya yang melibatkan kepentingan Islam dan Melayu.

Mana tidaknya, deretan isu yang berlaku pasca PRU14 mengundang keresahan ummat Islam.

Gagal lindungi Agama Persekutuan

Kerajaan PH dilihat terlalu tunduk ke atas desakan kesamarataan hak kepada semua agama. Sedangkan Perlembagaan Persekutuan jelas menjamin, hanya agama Islam sebagai Agama Persekutuan.

Melalui jaminan inilah, institusi-institusi agama terbina. Antaranya JAKIM dan juga Jabatan Agama negeri-negeri di Malaysia. Peruntukan dalam Perlembagaan tersebut jugalah yang menjamin hak untuk pendakwah-pendakwah Islam menjalankan misi dakwah.

Hari ini suara-suara daripada pemimpin bukan-Islam PH mula mempertikaikan hak istimewa tersebut. Ada suara minta JAKIM dan Jabatan Agama dibubarkan. Ada yang mula mendesak supaya pembesar suara di masjid diperlahankan.

Klimaksnya apabila desakan supaya dakwah Dr Zakir Naik dihentikan. Akhirnya mereka berjaya menghentikan dakwah Dr Zakir Naik.

Aset ummat Islam sedang digadai?

Menyerahkan aset Tabung Haji (TH) yang bernilai RM19.9 bilion untuk diurus oleh SPV Prokhas yang CEO-nya ialah Chen Yin Heng. Bagaimana harta ummat Islam boleh diserahkan kepada orang bukan-Islam untuk ditadbir urus. 

Akhirnya banyak aset TH yang dijual di bawah nilai pasaran semasa. Pulangan hibah pula menjadi ‘hiba’, hanya 1.25 peratus bagi tahun 2018.

Selain TH, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) hanya memberi pulangan 2 peratus bagi 2018 dan masih menanti debaran dividen untuk 2019. Amanah Saham Bumiputera (ASB) pula mencatat pulangan angka keramat 5.5 sen bagi tahun 2019, paling rendah dalam sejarah.

Bagaimana pula dengan nasib Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) bagi tahun 2019, juga menanti dengan debaran. Risau tidak bernafas lagi tanpa nyawa ‘oksigen’.

Angkat Komunis sebagai pejuang merdeka

Tambah pedih apabila gerakan mengangkat Komunis sebagai pejuang kemerdekaan. Dibawa abu mayat pengganas nombor satu negara, Chin Peng dan ditaburkan di perairan negara.

Diadakan pula reunion di Bandar Kajang, dan memarahi pula suara yang menentang mereka. Kini perjuangan Komunis bukan lagi di dalam hutan belantara, tetapi suara Komunis ada di Dewan Rakyat.

Jelas, merekalah petualang kepada negara.

Menteri dan Timbalan tidak efisien

Ditambah dengan gelagat para Menteri Kabinet yang langsung tidak efisien. Selalu ponteng sesi Dewan Rakyat dan bercakap perihal Kementerian mereka tanpa ada ilmu dan kajian.

Ada di kalangan mereka yang tidak cukup dengan elaun dan imbuhan sebagai Menteri dan Ahli Parlimen, cuba menambah pendapatan dengan menjadi broker tanah, memancing tanah milik Melayu untuk dijual kepada taikun. 

Dan terkini cuba menjadi broker sugar daddy, bagaimana billboard Sugarbook boleh naik di Bandaraya Kuala Lumpur. Isu kahwin di usia muda mereka kata zalim, poligami mereka kata suami gatal, sugar daddy, mereka kata itu hak asasi manusia.

Isu tindas Muslim Uyghur

Ketika di seluruh dunia mengecam Kerajaan China atas kezaliman terhadap etnik Uygur, ulasan Menteri Agama sangat menjengkelkan. Kata beliau banyak laporan yang tidak benar mengenai penindasan ummat Islam Uyghur.

Pelik! Sedang PBB sendiri mengesahkan bahawa Kerajaan China telah melakukan kezaliman kepada etnik Uyghur, di saat suara-suara bantahan terhadap penindasan etnik Uyghur datangnya daripada negara-negara bukan Islam seperti Jepun, Kerajaan Malaysia belum pun mengeluarkan kenyataan rasmi menyatakan pendirian mereka terhadap isu ini.

Tiba-tiba boleh pula merestui program ‘Beautiful Xinjiang’ diadakan di tengah-tengah ibu negara untuk mempromosi kempen pelancongan negara China.

Polemik tulisan Jawi

Isu tulisan Jawi pun PH tak boleh nak selesaikan dan amat lucu juga bila membaca komen orang-orang kuat Dong Jiao Zong. Ada yang kata takut diIslamkan bila belajar Jawi.

Ironinya mereka inilah yang menggunakan tulisan Jawi di papan tanda premis perniagaan dan produk barangan mereka dan tidak pula mereka diIslamkan. Ada juga yang bukan daripada Dong Jiao Zong ulas, kami tiada masalah nak belajar Jawi tapi janganlah paksa.

Macam-macam,sehingga mencuit hati dan jiwa Tuanku Permaisuri Agong. Tuanku sendiri mengambil inisiatif menulis dalam tulisan Jawi di Twitter baginda dan mendapat sokongan dari ‘follower’ termasuklah dari bangsa Cina.

Antara tulisan Tuanku Permaisuri, “Ramai orang Melayu pergi sekolah Cina, tak pula tukar agama”. Yang paling terkesan apabila Tuanku Permaisuri menulis, “Di sisi kafir ada munafik berdamping memberi sokongan dan mencari kemuliaan.”

Sebenarnya, isu Jawi ini bukanlah satu isu besar yang tak boleh diselesaikan, cuma di zaman PH ini ia jadi isu besar sebab Dong Jiao Zong yakin mereka boleh khadamkan Menteri Melayu PH.

Lihat sahaja komen Menteri Melayu PH, tak setuju polis mohon perintah mahkamah terhadap Dong Jiao Zong, mohon isu Dong Jiao Zong diselesai secara penuh hikmah, ini semua komen Menteri Melayu dalam PH.

Benar sungguh mereka ini adalah khadam kepada tuan mereka,  persis seperti filem Melayu Tiga Abdul, lengkap, ada ‘khadam betina’, ‘khadam bodoh nak mampus’ dan yang menjuarai tentulah ‘pencacai tua mengangkat najis’, seperti kata Abdul Wahub.

Ternyata Kerajaan PH gagal segalanya. Anda fikir mereka ada masa untuk pening kepala memikirkan masalah ummat Islam?

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).

(Al-Anfal: 27)



IZAM JAMIRI BAHARIN
Pengerusi Lajnah Dakwah
PAS Kawasan Kuala Kangsar – HARAKAHDAILY 30/12/2019