Kes rogol bawah umur membimbangkan di P Pinang

Disebalik kritikal negatif pemimpin DAP isu kahwin bawah umur di Kelantan

KES jenayah rogol membabitkan remaja bawah umur di Pulau Pinang semakin serius dan mencatatkan 78 peratus daripada 462 kes di negeri ini bagi tempoh 2014 sehingga Oktober tahun ini.

Ia seharusnya membuka mata ramai pimpinan DAP yang sebelum ini cukup kuat mengejek dan mempermainkan Kelantan atas isu yang sama dan juga berkaitan isu nikah bawah umur.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasagaran, berkata statistik menunjukkan remaja berusia antara 13 dan 15 tahun adalah golongan paling ramai menjadi mangsa rogol iaitu sebanyak 264 kes atau 57 peratus sepanjang tempoh lima tahun itu.

Sebanyak 42 peratus ataupun 193 kes direkodkan membabitkan kes dirogol teman lelaki (suka sama suka atau paksa), 139 kes atau 30 peratus membabitkan rakan mangsa, ahli keluarga (bapa atau adik beradik) sebanyak 54 kes serta tidak kenal dan kenalan baharu yang masing-masing 43 dan 33 kes.

Lebih membimbangkan adalah mangsa di bawah umur 12 tahun pula sebanyak 28 kes atau enam peratus manakala remaja berusia 16 hingga 17 tahun membabitkan 67 kes atau 15 peratus daripada keseluruhan kes itu.

Di mana dia suara ‘pejuang Feminin’ YB-YB DAP? Mana dia YB Hannah Yeoh? Mana YB Kasthuri Patto? Di mana suara YB Jamaliah?

Pada 2 Disember 2018, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan Dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin mengatakan tiada sebarang lesen hiburan dikeluarkan Kerajaan Negeri kepada mana-mana premis perniagaan di negeri ini.

Lalu, YB DAP Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto segera memerli, seakan-akan hiburan di Kelantan adalah melalui perkahwinan kanak-kanak di sana. Kata beliau: “Maka, adakah kanak-kanak menjadi hiburan”?

Setelah dikritik ramai, beliau dengan tegas menyatakan tidak menyesal dengan kenyataan tersebut, bahkan berkata: “Pi mampuih la pemangsa kanak-kanak.”

Akhirnya setelah kemarahan pengguna alam maya semakin memuncak, YB DAP ini telah memadam status-status tersebut dan memohon maaf. Namun apa sebenarnya yang boleh kita nilai daripada fikiran pimpinan DAP ini?

Kenyataan beliau memberi gambaran kepada kita bagaimana persepsi mereka terhadap Muslim dan Islam di Kelantan. Mereka akan terus memberikan naratif buruk kepada setiap apa yang berlaku di tanah Serambi Makkah ini.

Begitu juga yang berlaku sebelumnya apabila YB DAP Adun Bandar Utama yang menulis panjang di laman rasmi DAP iaitu Roketkini mengenai isu pernikahan bawah umur. YB Jamaliah Jamaluddin pada 24 Julai 2018 telah menuduh YB Dato’ Mohd Amar, Timbalan Menteri Besar Kelantan sebagai pembela yang mempertahan tindakan Che Abdul Karim (pernikahan isteri 11 tahun).

Pimpinan DAP ini menyebut, “yang mahu memejam mata sisi pedofil seorang lelaki yang ingin memperisterikan seorang kanak-kanak”. Pedofil?

Beliau terus menghentam dan menyerang dengan mengatakan, “Saya bertambah jijik apabila Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah keluar memberi kenyataan bahawa isu ini tidak perlu diambil berat. Malah, isu LGBT dan persetubuhan haram adalah lebih besar berbanding perkahwinan bawah umur. Adakah Datuk Mohd Amar bermaksud dia hanya berminat menyelesaikan masalah LGBT dan zina, walaupun kanak-kanak kita terdedah kepada kecenderungan diabaikan tanpa pembelaan? Adakah ini juga bermaksud Datuk Mohd Amar bersetuju dengan kecenderungan seksual orang dewasa terhadap kanak-kanak? Adakah ini bermaksud Datuk Mohd Amar bersetuju menghalalkan kejijikan pedofilia melalui ikatan perkahwinan?”.

Itu pandangan YB DAP Bandar Utama. Agak pelik apabila dinilai perkahwinan dalam rangka sempit sedemikian. Adakah dia hanya nampak perkahwinan itu sebagai ‘seks dan perhambaan’ semata-mata? Pernikahan hanya membawa risiko? Tidakkah nampak hebatnya Islam mengajar mahabbah, mawaddah dan rahmah melalui perkahwinan? Menurut pandangan Islam, keluarga adalah satu unit kecil dalam masyarakat yang akan menjadi kunci penyelamat daripada api neraka.

Dan kembali kepada tajuk betapa bimbangnya pihak keselamatan kepada kes jenayah rogol bawah umur di Pulau Pinang ini, apakah penyelesaian yang mahu ditampilkan oleh mereka? Masalah rogol khasnya ‘suka sama suka’ memang menjadi isu besar di semua negeri. Bukan hanya Pulau Pinang, tapi seluruh pelosok tanah air.

Di Pahang contohnya, jumlah kes rogol yang direkodkan sepanjang tahun 2017 meningkat kepada 163 kes berbanding 134 kes pada 2016.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Rosli Ab Rahman pada waktu itu berkata, paling membimbangkan 76 kes melibatkan remaja yang merupakan pelajar sekolah berumur 16 tahun ke bawah!

Ini masalah negara. Di Kelantan juga tidak terkecuali dengan kes sebegini. Apakah penyelesaiannya? Adakah dengan pimpinan DAP sibuk menyerang Kelantan, maka kes-kes sebegini akan menurun di negeri bawah pentadbiran mereka? Mengapa mereka suka menohmah Kelantan berkaitan isu perkahwinan bawah umur seketika lalu?

Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia merekodkan 5,362 permohonan kebenaran nikah bawah umur kanak-kanak beragama Islam di seluruh negara sejak Januari 2013 hingga Disember tahun lalu. Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 440 permohonan direkodkan di Johor dan 389 lagi di Kedah.

Sarawak merekodkan permohonan tertinggi iaitu 918, Sabah (793), Kelantan (793), Terengganu (407), Selangor (385), Wilayah Persekutuan (178), Negeri Sembilan (155), Pahang (354), Perak (266) dan 91 di Melaka.

Menurut Dr Wan Azizah lagi, rekod Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendapati seramai 212 kanak-kanak bukan Islam berkahwin dengan golongan dewasa sepanjang tahun lalu.

Kata beliau, daripada jumlah itu, dua kanak-kanak berumur 13 tahun, enam daripada mereka berusia 14 tahun dan sembilan lagi berumur 14 tahun. Sembilan kanak-kanak lagi berusia 15 tahun, 58 berumur 16 tahun dan 137 lagi dalam lingkungan umur 17 tahun. Dari segi pecahan, Sarawak mendahului negeri lain diikuti Johor, Selangor, Perak, Kuala lumpur dan Sabah.

Data KDN turut mendapati seramai 147 kanak-kanak lelaki dan perempuan bukan Islam berkahwin dengan pasangan bawah umur pada tahun 2017 yang mana daripada jumlah itu, seramai 82 kanak-kanak adalah berumur 17 tahun, 43 berumur 16 tahun, 15 berumur 15 tahun, enam lagi dalam lingkungan umur 14 tahun dan hanya seorang berusia 13 tahun.

Jika dipecahkan mengikut negeri, Sarawak turut merekodkan jumlah tertinggi iaitu seramai 32 kanak-kanak, 12 di Johor, 10 lagi di Perak , Selangor (tujuh), lima di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur serta masing-masing empat di Kedah dan Negeri Sembilan.

Nah, berdasarkan data-data di atas, mengapa pimpinan DAP keseluruhannya menghalakan serangan kepada Kelantan dan juga pernikahan Islam semata-mata?

Satu fakta menarik juga yang ditulis oleh Dr Ahmad Sanusi Azmi dalam laman Ismaweb iaitu 27 negeri di Amerika Syarikat tidak mempunyai had umur perkahwinan. Bahkan, Perancis pula hanya baru-baru ini meletakkan had usia 15 tahun sebagai usia minimum untuk berkahwin.

Menurut beliau juga, kajian yang dijalankan oleh Frontline, lebih dari 207,000 remaja Amerika telah berkahwin di bawah umur di mana dua pertiga dari mereka berumur 17 tahun, manakala 985 berumur 14 tahun, dan 10 orang berumur 12 tahun!

Amerika Syarikat sebagai peneraju fahaman Liberal antarabangsa sendiri, masih memperbahaskan isu had umur perkahwinan. Kita pula di Malaysia, perkara ini hanya dijadikan sentimen dan berniat untuk membina konotasi negatif kepada agama Islam.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Presiden
Pertubuhan PERTAHAN Kelantan – HARAKAHDAILY 30/12/2019

Advertisement

Rujukan:
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/12/642099/kes-rogol-remaja-bawah-umur-di-pulau-pinang-membimbangkan-polis