Mansuh BIPK: Mimpi buruk 1.57 juta Penjawat Awam?

SAYA tertarik untuk mengulas berhubung isu pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK). Jabatan Perkhidmatan Awam mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 bertarikh 20 Disember 2019 mengenai Pengukuhan Pelaksanaan Pemberian Elaun Dalam Perkhidmatan Awam. Menurut perenggan 8, sembilan elaun akan dimansuhkan, antaranya ialah BIPK. Sekalipun ia dikatakan ditangguhkan semula oleh kerajaan, namun keputusan yang muktamad berhubung isu ini setakat ini masih belum dikeluarkan secara rasmi dan tuntas.

Di pihak Dewan Pemuda PAS Malaysia, saudara Ketua Pemuda, Ir Haji Khairil Nizam Khirudin telah mengeluarkan kenyataan agar kerajaan sepatutnya mengkaji perjawatan yang memerlukan elaun berkaitan, bukan pemansuhan atau ketidakselarasan yang bakal melemahkan motivasi perkhidmatan.

Untuk rekod, BIPK diperkenalkan semasa pelaksanaan Sistem Saraan Baru (SSB) pada 1 Januari 1992. BIPK diberi kepada 38 skim perkhidmatan yang telah ditetapkan seperti Pembantu Perubatan, Penolong Pegawai Kawalan Trafik Udara, Arkitek, Jururawat, Malim, Pegawai Farmasi dan Pegawai Perubatan. BIPK dikaji setiap lima tahun untuk menilai tahap kritikal bagi mengekal atau menarik balik elaun.

Berdasarkan Senarai Semak Pembayaran, Jabatan Akauntan Negara Malaysia bertarikh 31 Disember 2018, BIPK diberikan berdasarkan kepada empat kriteria:

1.     Peranan dan sumbangan perkhidmatan ke arah pertumbuhan ekonomi negara berdasarkan keutamaan rancangan pembangunan negara.

2.     Kedudukan persaingan dalam pasaran buruh bagi tenaga terlatih yang diperlukan meliputi faktor penawaran dan permintaan.

3.     Kelayakan dan kebolehan pada perkhidmatan yang diperlukan iaitu dari segi kelayakan, latihan, pengalaman dan kepakaran.

4.     Keadaan persekitaran tempat kerja yang dilihat dari segi kesan kepada kesihatan, pendedahan kepada risiko kemalangan dan waktu kerja.

Empat kriteria tersebut menunjukkan, penentuan BIPK bukan hanya tertakluk kepada penawaran tenaga buruh bagi skim perkhidmatan berkenaan sahaja, tetapi ia juga berkait dengan peranan dan sumbangan, tahap kepakaran serta keadaan persekitaran tempat kerja yang terdedah dengan pelbagai risiko. Bagi hemat saya, BIPK wajar dikekalkan terutama kepada sektor kesihatan awam.

Isu penjawat awam banyak ditimbulkan sepanjang hampir 20 bulan pentadbiran Pakatan Harapan (PH). Ia bermula dengan pengecilan saiz atau rasionalisasi jumlah penjawat awam. Jumlah pekerja di Malaysia ialah 15.27 juta pada Oktober 2019. Daripada jumlah itu, hanya 1.57 juta penjawat awam merangkumi perkhidmatan awam Persekutuan, Negeri, Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Hanya sepuluh peratus (10 peratus) daripada keseluruhan pekerja di Malaysia adalah penjawat awam, dan 62 peratus daripadanya adalah terdiri daripada perjawatan dalam bidang kesihatan, pendidikan, tentera dan polis. Hal ini menunjukkan mereka daripada sektor sosial dan keselamatan. Logiknya, semakin bertambah jumlah populasi rakyat, maka semakin ramai penjawat awam diperlukan khususnya bagi kedua-dua sektor yang penting tersebut.

Hasrat Kerajaan Persekutuan adalah mengurangkan sebanyak 5 peratus perjawatan secara berfasa sehingga 2021. Ironinya, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri mendakwa, jumlah 5 peratus ini tidak akan menjejaskan penjawat awam sedia ada iaitu seramai 1.57 juta orang kerana jumlah perjawatan yang sepatutnya diisi ialah sebanyak 1.7 juta.

Pengurangan 5 peratus bermakna jumlah perjawatan awam yang sepatutnya diisi akan menyusut kepada 1.615 juta. Justeru, pengambilan baharu penjawat awam akan lebih kecil. Pada masa yang sama, kita faham tidak akan berlaku pemberhentian kerja dalam kalangan penjawat awam. Kadar nisbah semasa penjawat awam dengan populasi di Malaysia ialah 1:20.

Kadar nisbah 1:20 merangkumi 62 peratus penjawat awam dalam bidang pendidikan, kesihatan dan keselamatan. Sekiranya diasingkan 62 peratus dan hanya tumpukan kepada 38 peratus (597,000 penjawat awam) sahaja, maka nisbahnya adalah 1:54. Sudah tentu ia sangat besar dan tidak efisien. Jika perkiraan ini diambil kira, maka jumlah penjawat awam perlu terus ditambah, bukan dibekukan atau dikurangkan. Perbandingan dengan negara maju harus mengambil sifir ini supaya ia lebih adil dan ‘comparable’.

Kita tidak boleh berkompromi untuk mengecilkan saiz perjawatan dalam bidang pendidikan, kesihatan dan keselamatan. Bagi bidang selain itu, perlu dilihat lebih teliti agar produktiviti tidak terjejas dengan rasionalisasi perjawatan awam. Banyak cadangan yang boleh diperhalusi antaranya ‘deployment’, mengelakkan pertindihan tugas dan penswastaan strategik.

Kita tidak nafikan komponen emolumen dalam Perbelanjaan Mengurus Kerajaan Persekutuan adalah paling tinggi sekitar 30 peratus hingga 36 peratus daripada keseluruhan peruntukan. Selain daripada pertambahan perjawatan, ia juga disebabkan oleh peningkatan gaji tahunan dan bantuan kewangan yang lain. Perubahan mata peratusan bagi komponen emolumen biasanya tidak melebihi dua digit.

Berbeza dengan perubahan peratusan bagi peruntukan lain seperti komponen bayaran khidmat hutang dan komponen perkhidmatan dan bekalan, ia hampir dan pernah mencecah hingga dua digit. Malah, ketika kewangan negara dalam mod penjimatan sekalipun, Kerajaan Persekutuan masih boleh memperuntuk hampir RM100 juta untuk renovasi dan selenggara bangunan.

Isu lain yang ditimbulkan juga adalah mengenai mekanisme baharu skim pencen dalam kalangan penjawat awam. Dalam soalan lisan yang dijawab oleh YAB Perdana Menteri pada 22 Oktober lalu di Dewan Rakyat, beliau menegaskan bahawa mekanisme baharu tersebut tidak tertakluk kepada kakitangan sedia ada, tidak membebankan kewangan Kerajaan Persekutuan dan tidak merugikan penjawat awam.

Ia masih di peringkat perancangan dan belum ada ketetapan yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan. Bahagian untuk bayaran persaraan ialah sekitar 10 peratus hingga 11 peratus (RM24 bilion hingga RM27 bilion) daripada jumlah keseluruhan peruntukan Perbelanjaan Mengurus Kerajaan Persekutuan. Di dalam taklimat untuk Ahli-ahli Parlimen yang saya hadiri pada 7 Oktober 2019 yang lalu turut didedahkan bahawa tanggungan faedah persaraan pada tahun 2018 ialah seramai 828,726 orang dengan jumlah peruntukan RM23.9 billion. Dianggarkan tanggungan pada tahun 2019 ialah RM26 billion dengan jumlah pesara 838,329 orang. Jumlah tersebut diakui besar, namun untuk memansuhkannya secara serta merta bukan satu pilihan yang tepat.

Dapatan dari Melbourne Mercer Global Pension Index 2019 menamakan Netherlands, Denmark dan Australia sebagai tiga negara yang mempunyai sistem persaraan awam yang paling baik. Malaysia berkongsi kedudukan dengan Amerika Syarikat di kedudukan ke-16 dengan 60.6 mata. Sekurang-kurangnya indeks tersebut memberikan gambaran mekanisme baharu skim pencen yang sesuai untuk diaplikasikan di Malaysia.

Penjawat awam bukan beban kepada kewangan Kerajaan Persekutuan. Jumlah penjawat awam seramai 1.57 juta orang dengan nisbah berbanding populasi rakyat (1:20) masih ideal. Produktiviti adalah isu yang perlu diberikan tumpuan. PH tidak wajar ‘bermusuh’ dengan penjawat awam, manakala penjawat awam harus terus menjadi enjin penyampaian dan mediator berkesan kepada rakyat.

AHMAD FADHLI SHAARI
Ahli Parlimen Pasir Mas
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
30 Disember 2019 – HARAKAHDAILY 30/12/2019

Advertisement