‘Back to School’ PAS Kuala Kangsar

KUALA KANGSAR: Lajnah Kebajikan PAS Kawasan Kuala Kangsar telah mengadakan program ‘Back to School’ yang dilangsungkan dengan jayanya di Pasaraya Sakan, di sini kelmarin.

Kehadiran kali ini mencecah hampir 300 orang yang terdiri daripada ahli-ahli PAS di semua peringkat di mana setiap cawangan PAS diperuntukkan sebanyak lima penerima bantuan.

Advertisement



Tetamu jemputan iaitu Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria berkata, agenda ‘Buy Muslim First’ (BMF) perlu terus diperkasakan oleh setiap orang Islam.

Hal itu ujarnya, bagi memastikan setiap orang Islam dapat membeli dan menggunakan barangan yang jelas halal bersesuaian dengan konsep ‘Halalan Toyyiban’ disebut di dalam al-Quran.

BMF juga menurutnya, dapat mengelakkan umat Islam dari termakan atau terguna barang-barang yang tidak halal.

Yang DiPertua PAS Kuala Kangsar, Drs Khalil Idham Lim turut menekankan bahawa usaha BMF itu termasuk membeli barangan Muslim di kedai Muslim.

Hal tersebut jelasnya, penting bagi memastikan ekonomi umat Islam dapat dikembalikan kepada orang Islam melalui zakat dan sebagainya.

Program ini melibatkan kerjasama dari semua PAS Cawangan di Kuala Kangsar, di mana mereka diberikan kupon khas untuk membeli barangan persekolahan di Pasaraya Sakan.

Setiap para penerima diperuntukkan dengan baucar bernilai sebanyak RM120 yang diberikan kepada setiap anak-anak penerima yang layak.

Jamuan dan cabutan bertuah turut diadakan bagi semua penerima sumbangan dan pengunjung di program tahunan anjuran Lajnah Kebajikan PAS Kuala Kangsar ini.

Majlis ini turut diisi dengan tazkirah ringkas yang disampaikan oleh Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Kuala Kangsar, Ustaz Izam Jamiri Baharin, di mana beliau menjelaskan mengenai konsep perjuangan dalam Islam.

Jelasnya, perjuangan ini tidak mendambakan balasan dunia, bahkan mengejar habuan akhirat daripada Allah S.W.T dan menghurai hadis Qudsi di mana Rasulullah S.A.W berdoa agar dicampakkan perasaan kasih dan sayang kepada orang-orang miskin.

Beliau juga mengharapkan dengan adanya program ini dapat mendekatkan masyarakat dengan perjuangan Islam dan semoga para penyumbang kepada program ini, mendapat kemuliaan dan rahmat daripada Allah.

Turut hadir bersama, Ketua Muslimat PAS Kuala Kangsar, Intan Norhani Bashir dan Ketua Penerangan PAS Kuala Kangsar, Makmun Zulkefli. – HARAKAHDAILY 31/12/2019