Dong Zong penyumbang utama kemenangan PH

DESAKAN demi desakan disuarakan oleh pelbagai pihak yang cintakan keharmonian kaum agar tindakan tegas diambil terhadap Dong Jiao Zong, termasuklah mengharamkan pertubuhan ultra perkauman ini. Lebih daripada itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, juga telah beberapa kali memberi amaran kepada Dong Zong tentang sikap mereka yang anti nasional.

Meskipun, kemarahan pelbagai pihak termasuk Tun Mahathir sendiri, Dong Zong dilihat cukup kebal dan semakin berani menzahirkan sikap anti nasional mereka. Pertubuhan-pertubuhan Cina termasuk pimpinan politik Cina, sama ada di dalam kerajaan atau pembangkang berlumba-lumba membela Dong Zong, seolah-olah pertubuhan ini mempunyai kekuatan yang tersendiri.

Apakah kekuatan Dong Zong? Kekuatan Dong Zong ialah ia boleh menyatukan pengundi-pengundi Cina untuk mengundi gabungan parti tertentu supaya apabila gabungan parti itu menang, maka tuntutan melampau mereka dapat dipenuhi. Pengaruh Dong Zong yang kuat ini merupakan faktor berpengaruh menentukan corak pengundian kaum Cina dalam sesuatu PRU.

Dalam PRU ke-14 yang lalu, kesimpulan yang boleh dibuat secara puratanya hampir 92 peratus pengundi Cina mengundi PH. Dengan sokongan padu pengundi Cina ini, DAP dan parti-parti sahabatnya menang besar. Manakala MCA tinggal hanya satu kerusi. Pola pengundian kaum Cina yang memihak kepada PH ini diyakini disumbangkan oleh pengaruh besar Dong Zong di samping dua pihak yang lain.

Oleh sebab itu, apabila PH membentuk kerajaan, Dong Zong telah mula membuat tuntutan-tuntutan yang bersifat anti nasional termasuklah yang terbaru isu tulisan Jawi dalam pembelajaran Bahasa Melayu. Disebabkan pengaruh pertubuhan ini sangat besar terhadap kemenangan PH, biarpun ada beberapa pimpinan PH merungut terhadap sikap ultra perkauman Dong Zong, pertubuhan ini tetap kebal dari sebarang tindakan.

Tidaklah mengejutkan bila parti-parti pembangkang Cina pun mengambil kesempatan untuk ‘membodek’ Dong Zong. Mereka masih menaruh harapan agar dalam PRU ke-15 Dong Zong berpihak kepada mereka. Jika kitaran seperti ini berterusan, Dong Zong akan berterusan menjadi faktor yang menghalang integrasi nasional dan ketegangan kaum tidak akan selesai, justeru ia wajar diharamkan.

DR MOHD ZUHDI MARZUKI
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 31/12/2019

Advertisement