Elak budaya ubah tiang gol

PAS Kedah melihat sikap pemimpin negara seperti bermain bola mengenai Wawasan 2020 adalah tindakan kurang wibawa, ekoran mengubah nama kepada Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Sepertimana semua rakyat tahu, Wawasan 2020 digagaskan oleh Perdana Menteri Malaysia ke-4, Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau memegang jawatan itu selama 22 tahun. Selepas 9 Mei 2018, sekali lagi terpilih menjadi Perdana Menteri ke-7. Namun kuasa cengkaman beliau tidak sama seperti dahulu lagi.

Dalam masa memimpin negara buat kali kedua inilah, beliau mengubah nama Wawasan 2020 yang digagaskan sendiri. Sedangkan semua orang tahu, hingga ke akhir gagasan itu pun, matlamat asalnya jauh daripada tercapai.

Lalu beliau dan pimpinan Kerajaan Pakatan Harapan pun menukar nama Wawasan 2020 kepada Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

PAS Kedah menyifatkan tindakan ini seperti pemain bola sepak yang tidak dapat menjaringkan gol dalam permainan kaedah biasa lantas mengubah kedudukan tiang gol bagi mengikut di mana kawasan bola selalu sahaja pergi.

Bukan bola yang bergerak mencari pintu gawang tetapi pintu gol yang asyik bergerak-gerak mencari bola.

Tindakan permainan seperti ini samalah coraknya untuk menipu penonton bola sepak dan rakyat jelata.

Begitulah juga ‘tiang gol’ dicadang ubah, bila rakyat membuat keputusan menolak PH dalam banyak Pilihan Raya Kecil (PRK), ‘sistem PRK akan dikaji semula’. Bila rakyat ingin menjatuhkan PH dalam PRU15, tidak semena-mena keluar kenyataan, ‘sistem pilihan raya akan dikaji semula’.

Rakyat yang melihat kerajaan tidak mantap, fokus dan mengubah matlamat pembangunan negara wajar menilai semula dan segera menamatkan permainan yang asyik mengubah gol dan menggantikan dengan kerajaan yang lebih sejahtera rakyat.

“Islam Memimpin Perpaduan”

Terima Kasih.
Salam Hormat,

USTAZ AHMAD YAHAYA
Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah
4 Jamadil-Awwal 1441H
31 Disember 2019M – HARAKAHDAILY 31/12/2019

Advertisement