LATAS Pasir Salak rintis projek ternak ayam organik

PASIR SALAK: Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) PAS Kawasan Pasir Salak telah memilih lima anak muda yang diberi peluang merancang dan menguruskan projek khas penternakan ayam organik, di sini.

Advertisement

Mereka yang ditawarkan dengan inisiatif ini akan mengikuti kursus sebanyak tiga kali masing-masing di Lenggong dan juga Kedah serta Perlis di bawah anjuran HPA Industries Sdn Bhd bersama pemiliknya, Ismail Ahmad.

Dari ilmu perintis itu nanti, mereka akan memulakan langkah pertama membangunkan projek tersebut di bekas ladang ternakan tersebut yang memiliki keluasan 1.5 ekar dan kemampuan menternak 40,000 ekor ayam pada satu-satu masa.

Usaha ini turut mendapat sokongan padu Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria yang turut berkesempatan membuat tinjauan ke ladang ini tersebut semasa lawatannya ke sini kelmarin dahulu.

Beliau memberi semangat dan dorongan untuk anak-anak muda ini terus mengorak langkah hingga usaha mereka nanti menghasilkan produk ternakan Islam yang terjamin halal dan mengikut syariat.

Beliau diiringi pimpinan PAS Pasir Salak antaranya Ketua Pemuda, Ustaz Zafarul Azhan Zan dan Ketua Penerangan, Zaidi Harris serta Pengerusi LATAS, Asri Ismail dan Pengerusi LATAS Muslimat, Jamaiah Shuib serta wakil HPA Industries, Norliza Mahaidin. – HARAKAHDAILY 31/12/2019