Nabi Isa wajib diimani

HARI Natal – hari raya bagi pemeluk agama Kristian tidak kira mana mazhab yang mereka anuti. Hari Natal yang kebanyakannya mengenalinya Hari Krismas dikatakan hari lahir Nabi Isa anak Mariam 2019 tahun lalu.

Advertisement

Takwim Masihi yang diguna dan dipakai dalam urusan semua agama di dunia sekarang adalah dikira sempena kelahiran Nabi Isa yang ulul azmi, seorang daripada lima Rasul yang Islam iktiraf, iaitu Nuh, Ibrahim, Musa, Isa dan Muhammad SAW.

Takwim Masihi itu diterima pakai oleh semua justeru pengaruh besar Empayar Rom yang beragama Kristian yang menguasai Eropah sebelum ia dilumpuhkan dengan kelahiran Nabi Muhammad SAW. Justeru muamalat antarabangsa memakai kalendar Masihi, ia terpakai hingga hari ini. Pemakaian umat Islam atas takwim itu tidak menjadikan umat Islam berada di bawah naungan Kristian.

Sama seperti kiblat pertama Islam mendepani Baitul Maadis iaitu kiblat penganut semua agama samawi, agama langit Yahudi, Nasrani dan Islam, justrru Nabi Muhammad SAW tidak selesa berkiblat sama dengan Yahudi dan Kristian, maka Allah berkenankan kiblat beralih ke Masjidil Haram di Mekah dan kebetulan Kaabah itu adalah adalah rumah ibadat yang pertama didirikan oleh umat manusia iaitu oleh Nabi Ibrahim sendiri, iaitu pembawa agama samawi tadi. Sekalian manusia diseru Nabi Ibrahim berhaji di Mekah, cuma tidak disebutkan ketika itu kiblat adalah ke Mekah.

Sekalipun Nabi Isa ketika ini dikenali sebagai nabi dan tuhan bagi penganut Kristian, maka wajar umat Islam mengimani Nabi Isa, kerana beriman kepada nabi adalah satu dari rukun iman. Siapa yang tidak beriman kepada sekalian nabi maka batal syahadahnya.

Sekalian nabi dan rasul adalah nabi bagi Islam kerana setiap rasul membawa syahadat yang sama iaitu agama tauhid, cuma syariat berbeza.

Setiap umat sejak Nabi Adam hingga ke Nabi Isa diingat oleh sekalian nabi tentang kelahiran nabi akhir zaman iaitu Muhammad SAW dan sekaliannya wajib beriman dengannya. Mana-mana syariat yang masih terpakai sebelum turunnya Nabi Muhammad SAW, seperti yang tersurat dalam Taurat dan Injil terbatal dengan sendiri. Yang terpakai sejak kerasulan Nabi Muhammad SAW hingga kiamat ialah syariat Nabi Muhammad SAW.

Ketetapan ini bukan dibuat oleh Islam dan Nabi Muhammad SAW, tetapi sebahagian dari ajaran Taurat dan Injil. Sekalian Nabi Bani Israil tahu perkara ini. Penganut Yahudi dan Nasrani tahu perkara ini. Bila Nabi Muhammad SAW menjadi rasul, mereka akui itulah orang yang dimaksudkan oleh Taurat dan Injil, tetapi mereka ingkar kerana Muhamamad SAW bukan dari Bani Israil.

Mungkin ada umat Islam yang tahu ibadat Nabi Musa dan ibadat Nabi Isa, maka kafir mereka beribadat dengan syariat itu, kerana syariat yang terpakai setelah itu adalah syariat Nabi Muhammad SAW.

Nabi Isa di akhir zaman datang semula ke dunia, baginda tidak beribadat mengikut syariatnya tetapi baginda adalah umat Nabi Muhammad SAW. Seorang pendita dan padri mungkin beribadat persis ibadat Musa dan Isa. Ia hanya laku di zamannya tetapi ia tidak laku selepas turunnya Nabi Muhammad SAW.

Tiada cacat dan cela syariat Musa dan Isa, mereka jadi kafir kerana beriman dengan Taurat dan Injil dan tidak terima Muhammad SAW sebagai nabi. Tetapi bagi Islamm Isa adalah nabinya. Sesiapa yang tidak beriman dengan Nabi Isa, beriman dengan Nabi Muhammad saja, maka dia juga kafir.

Islam tidak merayakan Krismas kerana tidak mahu dikira membesarkan syariat yang sudah dimansuhkan. Membesarkannya adalah membesarkannya. Sedang syariat Islam itu adalah sempurna. – HARAKAHDAILY 31/12/2019