700 mahasiswa berhimpun desak Dong Zong diharamkan

    KUALA LUMPUR: Lebih 700 peserta himpunan daripada gabungan mahasiswa berkumpul di hadapan pusat membeli belah Sogo di sini hari ini sebulat suara memberi amaran keras kepada Dong Jiao Zong berikutan keceluparan pertubuhan itu mempertikai pelaksanaan tiga mula surat Jawi di sekolah vernakular.

    Advertisement

    Mahasiswa menjayakan ‘Himpunan Bangkit Pertahan Jawi, Haramkan Dong Zong’ sebagai satu gelombang agar pertubuhan Dong Zong dikenakan tindakan atas kebiadaban mereka.

    Terdahulu, para peserta berkumpul dan menunaikan solat Zuhur di Masjid Jamek sebelum bergerak ke Sogo.

    Himpunan yang dianjurkan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), diadakan bagi menyatakan kekesalan susulan bantahan Dong Zong terhadap pengenalan pengajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.

    Presiden Gamis, Saifullah Baiduri berkata tindakan Dong Zong menentang tulisan Jawi adalah sangat tidak wajar dan bertentangan dengan perlembagaan.

    Katanya yang memberi amaran supaya pihak Dong Zong menghentikan tindakan mereka dalam menentang tulisan jawi dan tidak membawa ideologi komunis di negara ini.

    “Ini amaran GAMIS hentikan perbuatan kalian, sekiranya tidak, kami tidak teragak-agak untuk menyeru mahasiswa dari seluruh negara berhimpun bersama NGO untuk membangkitkan gelombang mendesak supaya Dong Zong di haramkan.

    “Kami juga tidak teragak-agak untuk menghantar memorandum kepada Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Agong,” katanya ketika menyampaikan ucapan semasa perhimpunan tersebut.

    Jelasnya, mahasiswa bangkit pada hari ini bukan untuk membangkitkan perkauman tetapi bagi mempertahankan tulisan jawi yang merupakan tulisan ketamadunan Melayu.

    Beliau tidak menolak kemungkinan kebangkitan lebih besar akan diadakan sekiranya pihak Dong Zong dan DAP terus berdegil dan meneruskan agenda mereka.

    Timbalan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa menyifatkan persatuan Dong Zong cuba untuk membawa ideologi Komunis di negara ini.

    “Kita bukan membenci kaum Cina tetapi benci persatuan Cina (Dong Zong) yang biadab menentang tulisan Jawi.

    “Jangan usik bahasa Melayu dan tulisan Jawi yang menjadi sebahagian daripada bahasa Kebangsaan dijamin dalam perlembagaan,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Nashir Helmi Azhar berkata kelemahan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menyebabkan Dong Zong semakin berani menentang tulisan Jawi.

    Dalam masa yang sama, katanya parti berkepentingan seperti DAP cuba mengunakan isu kecil sebegini untuk menarik perhatian golongan Cina demi mencapai agenda mereka.

    Beliau turut mempersoalkan Menteri Perpaduan yang membisu berhubung perkata tersebut yang masih tidak kesudahan serta boleh mengugatkan perpaduan.

    Khairul juga mengingatkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng supaya tidak masuk campur dalam urusan yang tidak berkaitan dengan kementeriannya. – HARAKAHDAILY 1/1/2020