Bagi insentif restoran had niaga 12 malam

    KOTA BHARU: Kelantan memberi galakan kepada peniaga untuk menghadkan perniagaan mereka sehingga jam 12 malam dengan memberi insentif kepada mereka.

    Advertisement

    Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin berkata, dorongan itu khususnya bagi premis yang beroperasi melebihi tempoh tersebut sebelum ini.

    “Kita akan bagi insentif di mana kita mengecualikan bayaran lesen dalam tempoh setahun bagi premis yang sebelum ini berniaga lebih jam 12 malam.

    “Kita akan memberi mereka insentif antaranya lesen percuma selama setahun kepada peniaga yang menghadkan urusniaga sehingga jam 12 malam,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim hari ini.

    Sebelum ini kerajaan negeri merancang menghadkan operasi kedai makan sehingga jam 12 malam mulai tahun ini bagi mengurangkan gejala sosial.

    Dr Izani juga berkata, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan mengadakan pemantauan bagi menyemak premis yang beroperasi melebihi jam 12 malam.

    Menurutnya juga sekiranya ada peniaga yang perlu meneruskan perniagaan sehingga melewati jam 12 malam perlu mendapat surat kebenaran daripada Yang Dipertua PBT. – HARAKAHDAILY 1/1/2020