Crowdocracy dan generasi yang muak dengan politik

REALITI

(1)     Di Barat agak hangat perbincangan intelek tentang Crowdocracy yang dianggap sebagai pengganti Demokrasi. Walaupun ia hanya sekadar lontaran, tetapi wajar difikirkan.

Ia melibatkan trend dunia politik yang sudah terlalu lama terbeku dengan demokrasi. Mungkin juga kesan daripada kewujudan Gen Z yang semakin membesar.

(2)     Crowdocracy adalah satu fenomena politik berdasarkan pengaruh individu, bukannya parti atau kumpulan. Secara mudahnya, Facebooker yang mempunyai follower yang ramai, berpotensi untuk mengutip pengaruh.

(3)     Sebelum ini saya ada tulis secara ringkas fenomena ini. Walau bagaimanapun, Crowdocracy masih lagi terikat dengan ‘bilangan’ sama sepertimana Demokrasi.

Realiti Crowdocracy ini dilihat sinonim dengan kartun-kartun super hero. Yang menggambarkan seorang super hero itu cukup dengan dia seorang, boleh cover satu New York.

(4)     Kadang-kadang cukup dengan dia seorang boleh selamatkan bumi daripada serangan makhluk asing. Bunyinya macam kelakar dan sengal.

(5)     Generasi baru adalah generasi yang sudah muak dengan politik kepartian. Mereka bersetuju dengan politik, tetapi mereka katakan ‘tidak’ kepada parti.

Seolah-olah mereka telah dihantui dengan dunia kepartian yang kuat kencing, pandai berwayang, dan sewaktu dengannya. Seolah-olah telah hampa dengan harapan yang ditaburkan selama ini

Pengaruh dan bilangan

(1)     Greta Thunberg antara individu Generasi Z yang sedang diwarnakan oleh media-media Barat sebagai hero menentang pencemaran alam sekitar.

Seorang anak dara yang berumur 17 tahun, di makeup dengan lantangan suara ‘menentang’ kerakusan manusia merembat keindahan semulajadi.

(2)     M menggambarkan generasi yang sudah muak dengan janji manis parti-parti politik, akhirnya apabila sudah berkuasa, terus menjadi penguasa yang rakus.

(3)       Kalau kita selama ini dibayangi oleh konsep, ‘nak menang, kena menguasai Parlimen, nak kuasai Parlimen kena ada parti’. Hakikat ini semakin malap.

a-     Di Tunisia contohnya, Kais Saied menang Pilihan Raya Presiden sebagai seorang yang non-partisan.

b-     Di Malaysia contohnya, Tun M paling berpengaruh dalam PH sedangkan Bersatu adalah minoriti dalam pakatan tersebut.

c-     Di Perak, Menteri Besar di kalangan Bersatu sedangkan Faizal Azumu satu-satunya kerusi Dun yang dimenangi oleh Bersatu.

(4)     Seolah-olah Tun M muncul di tengah-tengah kemenangan PH membawa konsep Crowdocracy yang merentasi sempadan parti politik.

Manakala PKR dan DAP yang merupakan parti majoriti dalam Pakatan Harapan, dilihat hanya sekadar mampu menikus, dan main belakang tabir.

Membina Crowdocracy

(1)     Crowdocracy dianggap sebagai ‘The end of ideas in American Politics’. Menggambarkan demokrasi yang dipertahankan di Amerika sudah bertukar angin.

(2)     Untuk merealisasikan konsep Crowdocracy, seseorang ahli politik itu perlu mengutip pengaruhnya dengan pelbagai cara, sama ada halal atau haram.

Ada yang menipu, populis, Hoax, dan bermacam-macam lagi. Demi memberi keuntungan pengaruh buatnya. Persoalannya ialah bagaimanakah dengan gerakan Islam?

(3)     Adakah gerakan Islam perlu ikuti arus ini sehingga terpaksa memperkasakan perancangan mencipta ikon? Tak salah mencipta ikon. Yang salahnya ialah populis.

Iaitu politikus yang berlakon. Berlakon sebagai dermawan, berlakon sebagai pejuang rakyat, hipokrit, bermuka-muka dan sebagainya

(4)     Ada yang menggunakan konsep Robin Hood kononnya, membantu orang miskin bak Sosialism, ada yang menggunakan konsep Superman, ‘semua benda dia sahaja yang buat’ dan banyak lagi.

(5)     Masa depan dunia yang menerima Crowdocracy agak mengancam fikrah hidup berjamaah. Ia juga menyumbang kepada perpecahan yang semakin rancak.

Bahasa mudahnya, seolah-olah konsep jamaah itu turut ditolak oleh generasi baru Islam. Masing-masing dilihat cuba membawa crowd masing-masing.

Ada yang bergerak atas nama institusi pendidikan, atau atas nama kumpulan qasidah atau atas nama NGO atau atas nama pembela Islam dan banyak lagi kemungkinan.

Umat Islam hidup berpecah

(1)     Sebagai ahli gerakan Islam, kita sudah pun faham kewajipan berjamaah. Demi mengembalikan kekuasaan Islam. Namun, realiti baru agak mencabar.

Konsep jamaah Islam diserang bertalu talu dari segenap sudut;

a-     Tradisionalis akan menyerang isu-isu khilafiah (perselisihan), perselisihan mazhab dan aliran. Menjadi alasan menjauhi kesatuan.

b-    Sekularis akan menyerang dari sudut tiada kewajipan berjamaah, hidup menjaga dosa pahala sudah cukup untuk ke syurga kata mereka.

c-     Moderate pula akan menyerang dari sudut kejumudan gerakan Islam, mereka.

Secara kesimpulannya, segala serangan berbentuk memecah-belahkan Islam. Mencipta fenomena-fenomena baru sehingga masing-masing berasa di atas jalan yang benar.

(2)     Al-Quran dan Hadis terang-terang menyuruh supaya Umat Islam perlu bersatu. Namun, disebabkan taklid, akhirnya generasi baru Umat Islam tidak lagi mengikut al-Quran dan Hadis.

Masing-masing lebih suka memetik kata-kata hikmah para Ulamak, dan diangkat sebagai hujah yang setanding dengan al-Quran dan Hadis.

(3)     Cabaran alaf baru ini bukan sahaja memberi kesan kepada gerakan Islam, bahkan mengganggu gugat kestabilan politik gerakan-gerakan yang lain.

Di Amerika sendiri, Donald Trump menggunakan konsep populism yang sejati, sejak bertahun-tahun sebagai seorang selebriti rancangan televisyen.

Trend baru, Islam bagaimana?

Perbincangan tentang had umur mengundi di Eropah dilihat seiringan dengan Malaysia. Apabila umur mengundi semakin diturunkan.

a-     Pada bulan Ogos 2016, usia pengundian minimum di Greece untuk pilihan raya negara diturunkan kepada 17 tahun.

b-     Di Austria, had umurnya lebih rendah hanya pada 16 tahun

c-     Di Croatia dan Slovenia, kanak-kanak berumur 16 tahun boleh mengundi jika mereka bekerja.

d-     Di Hungary kanak-kanak berusia 16 tahun boleh mengundi jika mereka berkahwin.

e-     Kebanyakan Negara Anggota Kesatuan Eropah telah menetapkan usia pengundian pada 18 tahun. Namun sudah wujud kempen mengundi pada 16 tahun.

(3)     Apatah lagi beberapa orang dilihat mula mengemudi kepimpinan negara dalam usia yang muda, antaranya

a-     Perdana Menteri Finland yang baru, seorang wanita berusia 34 tahun bersama Menteri-menterinya yang lebih kurang sebaya.

b-     Pencabar Donald Trump sebagai Presiden Amerika untuk 2020, Tulsi Galbard berusi 38 tahun.

c-     Greta Thunberg yang saya ceritakan di awal tadi, diangkat sebagai Person Of The Year bagi majalah TIME dengan slogan The Power Of Youth.

(4)     Apakah Gerakan Islam perlu mengikut arus ini? Atau membiarkan sahaja anak muda terpesona dengan Hoax yang semakin bermaharaja lela?

Perlukah gerakan Islam membina ikon bagi bersaing dalam dunia Crowdocracy? Atau memadai dengan hanya bersandar pada nama Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang?

Yang pastinya, membina ikon itu bukan dengan populis. Ikon yang benar-benar sarat dengan ideologi dan wawasan, bukannya hanya sekadar nama dan gambar memakai kot tetapi tiada idea.

Advertisement

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 1/1/2020