Mendapan pasir di muara Kuala Kertih akan diatasi

    KEMAMAN: Mendapan pasir dikenal pasti menjadi punca muara Kuala Kertih semakin cetek hingga menyebabkan nelayan terhimpit kesukaran mendaratkan hasil, selain terpaksa bertarung nyawa bagi mengelakkan bot terkandas atau terlanggar batu.

    ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata, keadaan sangat merbahaya kerana beting pasir sudah kelihatan di permukaan air.

    Advertisement



    “Hasil dari perbincangan dengan pihak Exco dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bersetuju untuk kita mulakan dengan kerja-kerja ‘short-term’ dengan membersihkan mendapan pasir tersebut terlebih dahulu.

    “Bergantung keadaan, mungkin setiap kali mendapan berlaku, kerja-kerja menyedut pasir akan dilakukan segera.

    “Kerja ini boleh mencecah belanja sebanyak RM200,000 dan mungkin boleh bertahan untuk tiga bulan sahaja, sehingga penyelesaian jangka masa panjang ditemui,” katanya di Kertih, di sini petang semalam.

    Tegasnya lagi, walaupun kelihatan seperti menabur garam ke laut, namun solusi jangka pendek tersebut perlu diambil supaya nelayan masih boleh ‘keluar masuk’ ke laut.

    “Perbincangan melibatkan wakil nelayan setempat akan kita adakan untuk bersama-sama mencari solusi terbaik jangka masa panjang,” tambahnya.

    Terdahulu, Ir Saiful Azmi mengiringi Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Negeri Terengganu, Dr Mamat Puteh melawat muara sungai berkenaan pada tengahari.

    Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah, JPS Negeri Terengganu, Shaari Haron dalam taklimat memberitahu, struktur ‘groyne’ sepanjang 200 meter telah dibina di muara Kuala Kertih pada tahun 1993 dengan kos perbelanjaan RM500,000.

    “Kejadian beting pasir atau mendapan di muka kuala di sini dapat diatasi jika ‘groyne’ sedia ada dapat dipanjangkan dengan berapa penambahbaikan,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 1/1/2020