Program Pertanian Hidayah ‘Malaysia Berbuah’

    PASIR SALAK: Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) PAS Kawasan Pasir Salak telah mengadakan program Pertanian Hidayah ‘Malaysiaku Berbuah’ dengan kerjasama HPA Industries Sdn Bhd di Markas PAS Kampung Gajah, di sini kelmarin dahulu.

    Syarikat yang beroperasi sejak tahun 1986 dengan memperkenalkan produk makanan dan kesihatan itu kini mengembangkan sayapnya dengan produk pupuk organik cecair (POC) atau lebih dikenali baja organik untuk tanaman dan ternakan.

    Advertisement



    Program ini bertujuan menyebarkan cara dan teknik Pertanian Hidayah yang membawa para petani ke arah hasil ekonomi berimpak tinggi dan memajukan produk keluaran Islam, serta mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa.

    Wakil HPA, Mohd Sani Ibrahim menjelaskan, baja tersebut sesuai semua jenis tanaman dan ternakan serta berfungsi sebagai perawatan hasil dengan peremajaan, penambahbaikan genetik, membanyak dan memanjangkan hasil.

    “HPA juga menghasilkan anti virus dan anti hama untuk membantu tanaman dari serangan ulat perosak serta baja uria yang terhasil daripada herba,” terangnya.

    Katanya, projek seumpama telah berjaya di Indonesia di mana walau pada awalnya tidak mendapat sokongan pihak kerajaan, tetapi telah membantu petani dalam menangani masalah tanaman koko, bunga cengkih, anggur, kentang selain ternakan.

    Maklumnya, tanaman juga dipulihkan dalam kes tanaman padi yang diserang ulat akibat saliran air tidak mengikut jadual di mana harapnya penyelesaian tersebut dapat diperluaskan kepada ramai petani terkesan kes seumpama.

    Manakala isterinya, Shafariah Ibrahim memperkenalkan perubatan kesihatan organik ‘Wave and Human Growth Hormone’ dalam menyelesaikan masalah berkaitan saraf seperti keradangan jantung, sakit kepala dan lain-lain.

    Pimpinan PAS Pasir Salak yang hadir sama adalah Pengerusi LATAS , Asri Ismail dan Ketua Pemuda, Ustaz Zafarul Azhan Zan dan Ketua Muslimat, Jamaliah Sudin. – HARAKAHDAILY 1/1/2020