TDM meterai HOA dengan TH Plantations Bhd

KUALA TERENGGANU: TDM Berhad mengumumkan bahawa pihaknya memeterai satu Head of Agreement (HOA) dengan TH Plantations Berhad (THP) untuk pengambilalihan 70 peratus saham di dalam THP-YT Plantation Sdn Bhd (THP-YT), semalam.

Advertisement

THP-YT adalah pemilik berdaftar bagi tiga bidang tanah perladangan yang terletak di Mukim Caluk dan Marang, semuanya di Daerah Setiu, Negeri Terengganu dengan keluasan tanah seluas 2,594.50 hektar yang dikenali sebagai Ladang Bukit Bidong.

Dari jumlah itu, seluas 2,307.00 hektar telah ditanam dengan ladang kelapa sawit yang berumur di antara dua hingga sembilan tahun.

HOA ini dimeterai bagi membolehkan THP dan TDM untuk berunding dan memuktamadkan terma Perjanjian Jual Saham (SPA Saham) dan Perjanjian Penyelesaian Pendahuluan yang dirujuk sebagai Cadangan Pengambilalihan.

SPA Saham dan Perjanjian Penyelesaian akan dimeterai di antara kedua pihak dalam tempoh lapan minggu selepas HOA itu dimeterai dan pengumuman terperinci mengenai Cadangan Pengambilalihan akan dikeluarkan semasa menandatangani SPA Saham dan Perjanjian Penyelesaian Pendahuluan tersebut.

Setelah selesai proses Pengambilalihan, THP-YT akan menjadi anak syarikat TDM di mana ladang tersebut terletak berdekatan dengan perladangan yang sedia ada dan kilang minyak kelapa sawit milik TDM.

Pengambilalihan tersebut akan mengoptimumkan kapasiti pemprosesan TDM dan mengurangkan kos pemprosesan kilang bagi setiap tan metrik FFB di kilang Sungai Tong.

Profil umur ladang tersebut adalah di antara dua hingga sembilan tahun dengan pengambilalihan akan memperbaiki profil umur purata ladang TDM dan akan menyumbang secara positif kepada aliran tunai TDM.

Setelah selesai pengambilalihan, jumlah luas kelapa sawit ditanam TDM di Terengganu akan meningkat dari 31,346 hektar kepada 33,653 hektar. Pengerusi TDM Berhad, Dato’ Raja Idris Raja Kamarudin berkata, pihaknya dalam rangka Melaksanakan Pelan Pembangunan Perniagaan (BDP) bagi mengukuhkan asas pertumbuhan yang mampan untuk masa hadapan. 

Menurutnya lagi, pengambilalihan ini adalah sebahagian daripada strategi keseluruhan Kumpulan yang akan meningkatkan profil umur purata dan menstabilkan penghasilan kumpulan di mana secara strategik ianya meletakkan TDM untuk terus berdayasaing dalam pasaran yang mencabar.

Disamping itu katanya, TDM juga mengharapkan kajian semula Suruhanjaya Sekuriti (SC) pada Mei 2020 dan berharap akan disenaraikan semula di dalam senarai organisasi yang mematuhi syariah. 

“TDM percaya bahawa, pada dasarnya, TDM telah mematuhi keperluan SC dan kini menanti hasil kajian semula oleh SC pada Mei 2020 dengan TDM akan membayar sebanyak RM7 juta untuk 70 peratus saham THP dalam THP-YT. 

“Melalui Perjanjian Penyelesaian Pendahuluan yang dicadangkan, pendahuluan antara syarikat THP-YT kepada THP Suria Mekar Sdn. Bhd. (THPSM), anak syarikat milik penuh THP, berjumlah RM78.6 juta (Pendahuluan) akan diselesaikan melalui kemudahan bank yang akan diambil oleh THP-YT.

“Sebahagiannya akan dibayar menggunakan pendahuluan dari pemegang saham TDM dan atau Yayasan Terengganu berjumlah RM62 juta (Jumlah Penyelesaian). 

“Baki Pendahuluan, sebagai perbezaan antara Pendahuluan dan Jumlah Penyelesaian, akan diberikan oleh THPSM kepada TDM pada nilai RM1.00,” katanya kepada Harakah hari ini.

Dimaklumkan bahawa anak syarikat milik penuh TDM, TDM Plantation Sdn Bhd telah disahkan mampan oleh Roundtable on Sustainable Palm Oil (RSPO) dan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO). 

Pada tahun 2013, TDM adalah syarikat perladangan pertama di Terengganu telah melaksanakan amalan standard pada masa itu dan telah dianugerahkan dengan 100 peratus Persijilan RSPO.

“TDM yakin bahawa nilai strategik yang diperoleh daripada cadangan pengambilalihan itu akan diterjemahkan sebagai peningkatan perolehan operasi dan meningkatkan keuntungan dalam jangka panjang,” kata beliau lagi. –  HARAKAHDAILY 1/1/2020