Mamapride: Perjalanan manis sokongan Kelantan

Perasmian Mamapride oleh Mumtaz Md Nawi pada 16 Jun 2014.

SEJAK 2010 lagi, idea seluar bersalin mesra aurat telah berlegar-legar di kalangan ahli Persatuan Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) yang dipelopori oleh Prof Dr Harmy Mohamed Yusoff. Bagi mengisi masa atas Kapal Bunga Mas 5 (operasi menentang lanun di laut Hindi dan Laut Merah) penulis menetas seluar lebihan, dan dipadankan dengan kertas-kertas bagi menghasilkan reka bentuk terbaik. Manakala di Malaysia Dr Rosdeani dan rakan-rakan juga lain juga turut menghasilkan versi prototaip mereka.

Advertisement

Selesai operasi, penulis diminta membantu usaha itu secara lebih serius, bukan sekadar suka-suka. Kenangan terpaksa menyambut bayi lelaki di tengah kampung Timor Leste dengan alatan tidak mencukupi, serta mengenangkan untungnya diri dapat menyambut sendiri kelahiran anak berbanding suami-suami lain menjadi bekal semangat menjayakan idea ini.

Sejak itu langkah diatur. Lima buah kilang tidak mahu beri peluang Mamapride lahir ke dunia umat. Hampir rasa lelah. Namun, inspirasi dari Encik Honda yang mencari 400 syarikat bagi menjayakan motosikal Honda ciptaannya, serta lelah Thomas Edison 1,000 kali mencuba mencipta mentol lampu, menyuntik semangat.
Akhirnya, takdir tertulis, penulis diatur bertemu YB Dato’ Hajjah Mumtaz Md Nawi bagi berkongsi usaha berkenaan. Beliau yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat (UPWK) Negeri Kelantan ketika itu, dengan bersemangatnya mengatur usaha bersama para urusetia beliau, menentukan kami dibantu para guru jahitan Pusat Pembangunan Wanita Kelantan. Akhirnya Mamapride dilancarkan pada 16 Jun 2014 di Kelantan Trade Centre (KTC).

Manfaat kepada masyarakat

Pada peringkat awalnya, Mamapride menerima kritikan tempatan dan antarabangsa. Namun pasukan Mamapride tetap meneruskan penerangan. Akhirnya idea ini semakin diterima di Kementerian Kesihatan Malaysia (versi Materna Pants).

Pada tahun 2016, kami menerima berita gembira dimana pihak di United Kingdom terdapat gaun khas untuk wanita muslimah direka di The Royal Bournemouth dan Christchurch Hospital NHS Foundation Trust (RBCH). Pihak pencipta di sana berkata bahawa “gaun tersebut dicipta kerana menerima banyak maklum balas daripada pesakit wanita Islam. Pada masa yang sama, gaun itu sesuai untuk wanita beragama Hindu, Ortodoks Yahudi dan agama Rastafarian”.

Selain itu, seluar ini juga turut digunakan oleh mereka yang tidak beragama Islam kerana merasakan ia sesuai bagi mengelakkan kesejukan semasa melahirkan anak. Sehingga kini, lebih 92 buah hospital direkodkan pernah menerima pengguna Mamapride dan lebih daripada 9,032 ibu sudah membelinya.

Penggunaan Mamapride

Mamapride digunakan seperti mana-mana seluar track yang lain. Bezanya, ia mempunyai bukaan yang cukup luas bagi membolehkan ibu melahirkan anak. Keadaan ini membolehkan kawasan paha, lutut dan betis ditutupi secara optimim daripada pandangan mahupun dari suhu sejuk bilik bersalin.

Setelah bersalin, seseorang ibu akan disuntik dengan ubat IM Syntometrine di pehanya. Mamapride dengan prihatin menyediakan bukaan khas bagi membolehkan suntikan diberikan oleh staf kesihatan.

Selain itu, pengguna Mamapride juga ada memanfaatkannya ketika dalam pantang, semasa prosedur pap smear dan lain-lain keperluan klinikal di kawasan kemaluan.

Perspektif Hukum Islam

Direkodkan di dalam Jurnal Syariah (Siti Khadijah et al 2016), rekaan produk pakaian materniti yang ada kini telah memenuhi sebahagian keperluan mengambil hukum darurat mengikut keperluannya sahaja atau al-darurah tuqaddar biqadariha. Sehubungan dengan itu, inovasi dalam rekaan pakaian materniti yang patuh syariah ini wajar dikembangkan lagi dengan menambah ciri-ciri yang memudahkan prosedur rawatan semasa menggunakannya di samping memenuhi tuntutan memelihara maruah dan nyawa secara serentak.

Manakala penghasilan seluar ini sepatutnya dapat mengelakkan risiko isu kelahiran berbahaya di rumah (isu doula) apabila Mamapride dipetik oleh Mufti Wilayah Persekutuan dalam Bayan Linnas seperti berikut, “Setelah meneliti dan menekuni isu ini, disamping mendapatkan maklumat dari pakar perubatan, kami berpandangan penggunaan khidmat doula adalah tidak boleh dilakukan tanpa pemerhatian doktor atau bidan yang terlatih. Alasan tidak mahu melahirkan anak di hospital kerana isu aurat tidak timbul kini dengan adanya seluar bersalin mesra aurat, hospital-hospital tertentu yang menawarkan khidmat bersalin dengan menutup aurat, di samping perlu difahami bahawa nyawa adalah jauh lebih penting maslahatnya berbanding aurat dalam situasi tersebut.

Pengiktirafan

Mamapride telah memenangi pingat emas dalam Islamic Exposition on Syariah Compliance, Ideas, Inovation and Design pada tahun 2016. Selain itu, ia mendapatkan liputan dalam rancangan Salam Muslim, Astro Oasis pada tahun yang sama.

Perancangan masa hadapan

Insya-Allah, jenama Mamapride akan terus dikukuhkan dengan penghasilan model baharu dan produk seperti virgin coconut oil yang mempunyai banyak kebaikan untuk para ibu. Oleh itu, pihak Mamapride dan Koperasi Amal Medik Malaysia Berhad mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin bekerjasama atau melabur di atas jenama yang banyak memberikan manfaat kepada masyarakat di Malaysia dan dunia amnya. Kepada yang berminat boleh menghubungi Cik Jihan di talian 017-9152199.

Oleh DR KHAIRUL AFNAN KHALID – HARAKAHDAILY 2/1/2020