PAS perjuang syariat, rakyat bukan untuk publisiti

TAMBUN: Undang-undang Syariat yang ada di dalam Islam melalui wahyu Allah, hadis Rasulullah, Ijmak dan Qias bukan untuk memenjara manusia, tetapi adalah untuk memberi suatu garisan sempadan.

Yang DiPertua PAS Kawasan Tambun, Ustaz Md Salleh Said menegaskan bahawa pengukuhan pelaksanaan Islam bukanlah untuk menyekat kebebasan manusia sewenang-wenangnya.

“Undang-undang Syariat Islam adalah untuk memelihara manusia, memberikan satu garisan sempadan untuk manusia berfikir. Jika undang-undang ini tiada, maka akan lahir lebih ramai lagi free thinker.

“Adanya Islam ialah sebagai satu manual perjalanan di dunia. Meskipun hidup di dunia ini sementara, kita tetap perlu patuh pada syariat Allah,” ujarnya di program Santai Tahun Baharu 2020 anjuran PAS Zon Meru di Halaman Meru Damai di sini kelmarin.

Beliau turut mengisytiharkan bahawa PAS Tambun sedang sarat menerima keahlian baru dan ia terbukti dengan kejayaan penubuhan 10 Cawangan baru di dalam bagi tahun 2019 iaitu Cawangan Halaman Meru Damai.

Beliau juga mengingatkan bahawa gerak kerja PAS ialah untuk menghidupkan nadi rakyat dan membawa Malaysia ke arah sebuah negara yang mengamalkan nilai Islam, bukan mencari publisiti.

“PAS takkan peduli fitnah pihak musuh kerana ia merupakan satu dugaan Allah untuk mengukuhkan kefahaman sebelum Allah memberi kemenangan untuk kita (PAS),” tegas Ustaz Salleh sebelum mengakhiri ucapannya di dalam program itu. – HARAKAHDAILY 2/1/2020

Advertisement