Reformasi sistem pilihan raya jangan terburu-buru

Elak masa depan negara tergadai, bangsa berpecah

KUALA LUMPUR: Cadangan Jawatankuasa Reformasi Pilihan Raya (ERC) untuk menukar sistem pilihan raya sedia ada kepada sistem perwakilan berkadar (PR) dibimbangi akan memecahbelahkan Bangsa Malaysia .

Advertisement

Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia, Shahir Adnan berkata sistem PR tersebut akan menidakkan undi kaum minoriti dan memberi kemenangan kepada kaum dominan di sesuatu kawasan.

“Dasar perwakilan berkadar (PR) dilihat akan memecahbelahkan Bangsa Malaysia di mana sistem ini menidakkan undi kaum minoriti serta etnik-etnik minoriti di Sabah dan Sarawak. Kaum dominan di sesuatu kawasan akan menang dan suara minoriti akan lupus,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan perwakilan berkadar (PR), Parlimen di bandar-bandar akan hanya di dominasi satu kaum, manakalan Parlimen di kampung-kampung akan di dominasi kaum yang lain.

Hal ini katanya boleh menyebabkan jurang perkauman akan lebih melebar dan Bangsa Malaysia akan terus berpecah belah.

Pemuda IKATAN menyifatkan cadangan mereformasikan sistem pilihan raya itu merupakan satu dasar yang dilihat mahu dilaksanakan secara terburu-buru, sebaliknya perlu diperhalusi dengan sebaiknya dan mendapatkan pandangan semua pihak kerana ini melibatkan masa depan negara

Katanya, ERC seharusnya menumpukan masa dan tenaga untuk menambahbaik sistem pilihan raya sedia ada agar lebih telus dan profesional.

“Antara penambahbaikan yang dicadangkan parti-parti politik terlibat adalah melantik pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) sebagai Ketua Tempat Mengundi (KTM) dan sebagai petugas-petugas,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Pemuda IKATAN menggesa kerajaan memperhalusi dasar itu dengan sebaiknya kerana ia melibatkan kesejahteraan dan kemakmuran negara.

Sebaliknya kata beliau, hal sebegini tidak boleh dibuat pusingan-U (U-turn) seperti dasar-dasar Pakatan Harapan (PH) yang lain.

Terdahulu, Jawatankuasa Reformasi Pilihan Raya (ERC) mencadangkan dan akan mengusulkan kepada kerajaan supaya sistem pilihan raya sedia ada FPTP ditukar kepada sistem perwakilan berkadar (PR) untuk kerusi Parlimen.

Dikatakan sistem perwakilan berkadar (PR) tersebut lebih adil dan demokratik, selain menggalakkan parti politik untuk lebih berkhidmat kepada rakyat selain lebih bersau-padu. – HARAKAHDAILY 2/1/2020