BN ada peluang menang Kimanis – Presiden PAS

MARANG: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yakin Umno-Barisan Nasional (BN) boleh menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, Sabah dengan Muafakat Nasional.

Advertisement

Katanya, kerjasama Muafakat Nasional itu semakin baik dan boleh mencapai kemenangan pilihan raya sebagaimana PRK Tanjung Piai, Johor.

“Sekarang ini nampak kerjasama (Muafakat Nasional) itu, Alhamdulillah. Dan kita telah mencapai (kemenangan) beberapa pilihan raya kecil. Kalau sekiranya, di Tanjung Piai itu kita letak calon MCA kerana meraikan peringkat nasional.

“Kita (PAS) harap kerjasama di Sabah ini lebih kuat lagi untuk menang. Politik Sabah ini, dia ada ‘style’ (gaya) dia sendiri dan calon kita (muafakat) itu bekas Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri), pernah berkhidmat.

“Sehingga kini, kita kerahkan jentera PAS di Malaysia Timur khususnya, jentera-jentera kita di Sabah dan Sarawak membantunya.

“Potensi kemenangan kuat, lihat kepada peratus undi (PRU14) dan Umno waktu itu kalah tipis sahaja. Cuma petisyen pilihan raya itu lebih bergantung kepada undi rosak. Undi rosak banyak mungkin masa itu berlaku protes terhadap Barisan Nasional dan dirosakkan kertas undi.

“Jadi dengan apa yang berlaku hari ini mungkin sudah berubah sikap dia (pengundi),” jelasnya kepada wartawan selepas menyampaikan Kulaih Dhuha Pagi Jumaat di masjid Rusila, Marang, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menyifatkan, isu utama bagi pengundi Kimanis itu mengenai kaum Bumiputera di Sabah.

Menurutnya, 90 peratus penduduk asal Sabah adalah Bumiputera dan DAP pula terlalu perkauman ingin menguasai kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Justeru, Tuan Guru Abdul Hadi, menyarankan kepada ahli parti penyokong Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) agar menyokong calon Umno (BN) di PRK Kimanis.

“Isu utamanya lebih mengutamakan kaum Bumiputera (Sabah). (Ini) kerana 90 peratus itu Bumiputera dan kita (PAS) menyaksikan DAP terlalu perkauman dan mahu menguasai PH secara perkauman.

“Walaupun parti Warisan itu daripada kita (Melayu), Bersatu daripada kita (Melayu) dan kita mengharapkan ahli-ahli (pengundi) Bersatu, Warisan ini mengundi Umno (BN) untuk menyelamatkan keadaan,” tegasnya.

Umno-BN telah mengumumkan Ketua Umno bahagian Kimanis, Dato’ Mohamad Alamin yang pernah menjadi Adun Bongawan pada PRU lalu menjadi calonnya di PRK Parlimen Kimanis, 18 Januari ini.

Manakala, WARISAN pula mempertaruhkan Ketua Bahagian Kimanisnya, Dato’ Karim Bujang yang bekas Adun Bongawan ketika bersama Umno-BN sebelum PRU lalu. – HARAKAHDAILY 3/1/2020