Kembalikan semula Kementerian Pengajian Tinggi

LAJNAH Pendidikan PAS memberi perhatian mendalam terhadap keputusan mengejut Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik, meletakkan jawatan semalam.

Advertisement

Peletakan jawatan tersebut sudah pasti menimbulkan tandatanya kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya warga pendidik, mengapa tindakan itu diambil ketika penggal persekolahan tahun 2020 baru sahaja bermula.

Lajnah Pendidikan PAS tidak boleh sama sekali menerima sekiranya peletakan jawatan tersebut disebabkan oleh tekanan daripada pihak-pihak tertentu dalam PH, berkaitan isu tulisan Jawi yang panas diperkatakan hari ini.

Demikian juga, sekiranya peletakan jawatan tersebut disebabkan tekanan pihak tertentu yang tidak berpuashati dengan keputusan Dr Maszlee Malik menamatkan kontrak sebuah syarikat berkaitan penyediaan prasarana pendidikan digital, Lajnah Pendidikan mendesak SPRM membuka siasatan.

Memandangkan jawatan Menteri Pendidikan telah dikosongkan dan kemungkinan berlakunya rombakan kabinet, Lajnah Pendidikan PAS mencadangkan supaya diwujudkan kembali Kementerian Pengajian Tinggi selaras dengan perkembangan bidang pendidikan yang begitu pantas dan meluas pada hari ini.

Meskipun berlainan parti politik, atas semangat Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), Lajnah Pendidikan PAS mengucapkan penghargaan terima kasih kepada Dr Maszlee Malik yang telah berjaya mengemudi Kementerian Pendidikan dengan baik sebelum ini.

YB DATO’ DR MOHAMED FADZLI HASSAN, Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS

3 Januari 2020
8 Jamadilawal 1441 – HARAKAHDAILY 3/1/2020