‘Melukis’ dengan cahaya

MELUKIS tidak semestinya hanya dengan cat atau dakwat. Tetapi melukis juga boleh menggunakan cahaya.

Dalam dunia fotografi, kamera umpama berus lukisan, manakala jurufoto umpama pelukis. Imej yang dirakam menggunakan kamera ibarat satu lukisan yang mampu memberikan seribu satu mesej di sebaliknya.

Kualiti sesebuah foto bergantung rapat kepada tahap pencahayaannya. Semakin mahir seseorang jurufoto itu ‘bermain’ dengan cahaya, semakin tinggilah nilai foto tersebut.

(Sebab itulah lensa sesebuah kamera, harganya lebih mahal daripada ‘body’ kamera itu sendiri. Mahal atau murah sesebuah lensa bergantung kepada sejauh mana tahap pencahayaan dan ketajaman imej yang mampu dihasilkan oleh lensa tersebut).

Begitulah seni dalam dunia fotografi. Hasil seni dari seorang jurufoto mampu memberikan seribu satu mesej penuh bermakna kepada penonton.

Pernahkah kita tiba-tiba tersenyum bila melihat foto lama ketika zaman kanak-kanak atau zaman persekolahan? Atau kita tiba-tiba terasa tenang, nyaman dan sejuk bila melihat foto pemandangan di tepi tasik yang dikelilingi gunung pada waktu pagi yang dipenuhi kabus?

Ya, imej foto yang dirakamkan oleh jurufoto mampu mencetuskan emosi di dalam diri penonton. Emosi itu pula akan diterjemahkan melalui raut wajah dan perilaku penonton seperti senyum, ketawa, tenang, marah, geram dan sebagainya.

Inilah tugas yang dipikul oleh semua jurufoto, terutamanya di dalam Alternative Photoghraphy Club (APC), sebuah kelab fotografi yang diwujudkan di dalam Dewan Pemuda PAS Malaysia.

APC memikul tanggungjawab besar menyampaikan mesej Islam melalui imej-imej foto yang dirakam. Seni kemahiran yang ada pada jurufoto adalah merupakan hikmah kebijaksanaan dan ilmu daripada Allah S.W.T. Ianya yang perlu dimanfaatkan, supaya manusia dapat mengenali Allah S.W.T.

Seni yang penuh hikmah ini disebut oleh Allah S.W.T di dalam surah Al-Nahl ayat 125:

Advertisement



ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”



Jom bersama kami di dalam APC. ‘Melukis’ dengan cahaya, untuk mengenali Allah dan memuliakan Islam!

AFNAN HAMIMI
Yang minat melukis
Ahli APC Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 3/1/2020