Hudud: Hak Allah yang diperjuangkan PAS

HUKUM Hudud merupakan salah satu daripada tiga cabang hukum jenayah Islam, selain Qisas dan Takzir. Secara bahasa Hudud bermaksud batasan-batasan, tetapi secara syarak hukum Hudud ialah hukum-hukum yang tertentu yang ditentukan oleh Allah sama ada melalui al-Quran atau Sunnah Nabi Muhammad S.A.W sebagai hak Allah yang dikenakan ke atas pesalah-pesalah yang telah melakukan kesalahan-kesalahan yang tertentu yang digolongkan di dalam jenayah Hudud.

Para ulamak berselisih tentang jenis-jenis kesalahan Hudud, tetapi bersepakat di atas tujuh jenis kesalahan seperti yang diterangkan oleh al-Quran dan Sunnah iaitu zina, qazaf (tuduhan zina), mencuri, merompak, meminum arak, murtad dan bughah (memberontak kepada Kerajaan Islam). Secara keseluruhan, terdapat sekitar 15 jenis kesalahan yang dikategorikan sebagai jenayah Hudud oleh para ulamak tetapi terdapat perselisihan padanya, kecuali tujuh jenis kesalahan di atas.

Al-Mawardi di dalam Ahkam Sultaniyah telah mendefinisikan Hudud sebagai kekatan-sekatan atau deraan-deraan yang ditentukan oleh Allah sebagai balasan (hukuman) kerana melakukan perkara-perkara yang ditegah dan meninggalkan pekara-perkara yang diperintah, kerana tabiat semulajadi manusia yang dikuasai oleh nafsu yang melalaikan dari seksaan akhirat dengan semata-mata mengejar kelazatan dunia yang cepat. Abdul Kadir Audah mengatakan melaksanakan hukum Hudud ini adalah kewajipan dan dikira sebagai hak Allah. Maksud hak Allah ialah seksaan itu tidak boleh digugurkan (dimaafkan) sama ada oleh individu atau masyarakat.

Kerana kewajipan melaksanakan Hudud ini, sejak awal penubuhan PAS, isu melaksanakan Undang-undang Syariah termasuk Hudud telah diperjuangkan. Bahkan, dalam Pilihan Raya Umum 1955, ketika PAS menggunakan simbol ‘Tangan Terbuka’, para pemimpin Perikatan telah menuduh itu sebagai simbol hukuman ‘potong tangan’ jika PAS memerintah. Hal ini berlanjutan pada 1960-an sehingga menjadi salah satu faktor munculnya isu kafir mengkafir ketika itu. Namun begitu, disebabkan oleh isu-isu negara bangsa seperti kemerdekaan, penubuhan Malaysia dan ketuanan Melayu, maka isu pelaksanaan Hudud tidak begitu menonjol dalam perjuangan PAS.

Isu Hudud mula diperkatakan semula pada akhir 1970-an apabila Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS, Ustaz Dr Haron Din menghasil buku Hudud Dalam Perundangan Islam terbitan Pakar Print pada 1978. Ini diikuti oleh tulisan Ustaz Harun Taib seperti Kuasa Perundangan Islam (1979) dan Kuasa Pemerintahan Islam (1981); tulisan Dewan Ulamak PAS Pusat, Islam dan Politik (1980); dan tulisan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Islam: Penyelesaian Masalah Umat (1982); serta terjemahan karya al-Mawdudi, Ke Arah Sebuah Pemerintahan Islam (1981); karya Khomeini, Pemerintahan Islam (1983) dan karya Prof A. Hasjmy, Di Mana Letaknya Negara Islam (1984). Penghasilan karya-karya baru tentang kenegaraan, perundangan dan hukum Hudud ini telah memanaskan semula perbincangan mengenai pelaksanaan Undang-undang Jenayah Islam di negara ini.

Apabila PAS berjaya menguasai semula Kelantan pada 1990, polemik pelaksanaan Hudud menjadi semakin hangat, terutama apabila pimpinan PAS mula mengatur langkah untuk melaksanakan Hukum Jenayah Syariah tersebut. Dalam tempoh tersebut, para ulamak termasuk pimpinan PAS menghasilkan pelbagai karya tentang hukum Hudud untuk memberi kefahaman kepada masyarakat. Antaranya Undang-undang Jenayah Islam oleh Dr Ahmad Kamaruddin Hamzah (1989), Hukum Islam di Malaysia oleh Prof Ahmad Ibrahim (1992), Ke Arah Kefahaman Hudud oleh Tuan Guru Haji Atiqullah Yaakub (1992), Mengenal Hukum Hudud, karya Dr Wahbab Zuhaili yang diterjemah oleh Ustaz Yusof Zaki (1992), Undang-undang Jenayah Hudud oleh Prof Dr Mahfodz Mohamed (1992), Undang-undang Jenayah Islam oleh Dr Faizah Ismail (1991), Undang-undang Jenayah Islam: Jenayah Hudud oleh Dr Mat Saad Abdul Rahman (1993) dan lain-lain.

Hasil usaha bersungguh-sungguh pimpinan Kerajaan PAS Kelantan, mereka telah berjaya menggubal Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993, tetapi ditolak oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamed pada 14 Julai 1994. Ekoran itu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah menjawab penolakan Perdana Menteri melalui bukunya, Isu Hudud: Abdul Hadi Jawab Mahathir (1994). Walaupun mendapat tentang daripada golongan Kebangsaan Sekular, PAS sekali lagi berjaya meluluskan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 1423/2002 ketika PAS berkuasa di negeri tersebut antara 1999 hingga 2003. Walaupun usaha PAS untuk melaksanakan Hukum Jenayah Syariah ini masih belum menjadi realiti, tetapi undang-undang yang digubal oleh PAS telah menjadi rujukan bagi penggubalan Perintah Kanun Hukum Jenayah Syariah, 2013 di Brunei dan Qanun Aceh Nomor 6 2014 Tentang Hukum Jinayat di Aceh.

MOHD FADLI GHANI
Ketua Lajnah Sejarah dan Arkib, Sidang as-Sabiqun PAS Pusat – HARAKAHDAILY 5/1/2020

Advertisement