Umat Islam sentiasa dalam ‘sasaran’ kuasa Barat

Pentingnya umat Islam bersatu, elak perselisihan dan perpecahan

DI IRAQ, ketika era kekuasaan Saddam, tak ramai yang berani bercakap tentang lelaki bermisai lebat yang paling berkuasa di Iraq pada zamannya. Kalau kita tanya pun, kawan-kawan Iraq lebih mengambil sikap berdiam diri atau menunjukkan isyarat tangan di leher. Saya faham, maknanya baik diam atau…

Suatu hari soalan yang sama saya ajukan kepada guru kami yang mulia, Almarhum Syeikh Abdul Karim Mudarris, apa pandangan Tuan Syeikh tentang Saddam? Kata Syeikh, “Wahai anakku, adanya Saddam bala bagi Iraq, tapi kalau Saddam tiada, bala akan jadi lebih besar.”

Saya pulang dari perantauan di Iraq pada tahun 1999 tanpa saya memahami apa yang dimaksudkan dengan ungkapan kata-kata guru kami tersebut.

Tahun 2003, selepas kejatuhan Saddam, Iraq dihancur leburkan oleh US, kerajaan boneka US pimpinan Syiah mengambil alih kuasa, di sebalik hasil minyak yang melimpah ruah, Iraq menjadi antara negara termiskin dan paling tak selamat di dunia, pembunuhan, letupan bom dan kematian berlaku hampir setiap hari, rakyat Iraq berkelana ke serata dunia termasuklah ke Malaysia bagi mencari kehidupan dan paling tragis negara Iraq kehilangan kedaulatan maka barulah saya faham dan mengerti akan apa yang dimaksudkan oleh Tuan Syeikh dan ianya telah nyata berlaku. 

Ramai kawan-kawan Iraq yang berhijrah ke Malaysia mengeluh dengan nada penyesalan, kata mereka, “kalaulah Saddam masih ada.”

Malah bekas Penganalisis CIA, John Nixon, individu pertama yang menyoal siasat Saddam selepas ditahan oleh US pada 2003 mengakui bahawa rantau Timur Tengah akan lebih aman sekiranya Saddam tak digulingkan dan beliau mengakui bahawa sebenarnya Iraq tak pernah membangunkan senjata pemusnah besar-besaran sebagaimana dakwaan US dan dengan dakwaan inilah mereka menyerang Iraq.

Kita akui Saddam bukan Islamik. Parti Baath pimpinannya ialah sebuah parti Sosialis. Tapi beliau antara yang boleh dibilang jari dari kalangan pemimpin Arab yang berani mengangkat muka di hadapan kuasa hegemoni Barat.

US sebenarnya telah menjajah Iraq sejak 1991 lagi. Bila Iraq dikenakan sekatan ekonomi, US telah mengepung Iraq dari segenap penjuru. Minyak Iraq boleh dijual, tapi di bawah kawalan PBB atau US. Hasil jualan minyak dibahagi 3. Satu bahagian untuk memulihkan kerosakan perang di Kuwait. Yang buat kerja-kerja pemulihan ialah kontraktor US. Satu bahagian lagi untuk program bekalan makanan dan ubatan. Yang dapat kontrak membekalkan makanan dan ubat-ubatan dan dibayar dari hasil minyak Iraq ialah negara-negara yang bersama US dalam Perang Teluk 1991. Satu bahagian lagi untuk kawasan autonomi Kurdish di Utara Iraq. Minyak dijual, tapi Iraq tak dapat duit.

Pesoalannya, benarkah US datang sebagai tentera pembebas untuk membebaskan Iraq dari kekejaman Saddam? Bila orang Iraq sendiri mengesahkan bahawa zaman Saddam beribu kali lebih baik dari zaman US, maka saudara dapat jawab sendiri soalan ini.

Apakah US pro Syiah dan anti Sunni sebab kerajaan boneka Iraq yang diangkat US dipimpin oleh Syiah? Mereka yang memerhatikan krisis rantau Timur Tengah dengan teliti akan memahami bahawa Sunni atau Syiah tak penting bagi US. Yang penting ialah, siapa yang sanggup menjadi boneka mereka. Iran negara Syiah jadi musuh US, di Iraq US angkat Syiah jadi pemimpin. Lalu Syiah Iraq yang berkuasa berlaku zalim kepada orang Sunni. Di Iraq US lawan Sunni tapi Kuwait sebagai negara ummat Islam Sunni pula jadi sekutu kuat US. Ini permainan barat yang perlu dibaca dengan mata hati dan kefahaman.

Dunia Barat melihat pertembungan Sunni-Syiah boleh menjadi titik panas bila dimanipulasikan. Sedangkan orang Sunni dan Syiah telah hidup bersama secara aman damai sejak beribu tahun lalu. Sunni tak akan jadi Syiah dan begitulah juga sebaliknya.

Malangnya kerana kita rela menjadi bahan mainan Barat. Ada krisis dan konflik yang berlaku antara Sunni-Syiah, US dianggap sebagai hero dan pembela. Penyelesaian dalam ruang lingkup sesama negara dan kesatuan ummat Islam bukan lagi menjadi pilihan. Alangkah naifnya kita.

Tuan Guru Presiden PAS bila hadir dalam persidangan antarabangsa di Iran, tujuannya bukan untuk sokong Syiah dan bukan juga untuk dakwah Syiah supaya jadi Sunni. Tapi Tuan Guru mengingatkan betapa pentingnya kesatuan ummat Islam dan jangan kita menjadi bahan permainan kuasa Barat. Inilah yang ramai orang tak faham!

DR AZMAN IBRAHIM
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 5/1/2020

Advertisement