Kimanis: Hipotesis awal ILHAM Centre pra-matang

    TIDAK banyak pihak, khususnya badan kaji selidik, yang memandang berat terhadap PRK Kimanis 18 Januari ini.

    Advertisement

    Institut Darul Ehsan (IDE), yang selalunya terkedepan dalam membuat kaji selidik, senyap sahaja kali ini.

    Setakat ini hanya ILHAM Centre yang membuat hipotesis awal bahawa WARISAN memiliki kelebihan di Kimanis.

    Alasan-alasan yang diberikan oleh ILHAM Centre adalah:
    (1) BN lumpuh sepenuhnya di Sabah sebulan selepas PRU 14 apabila semua komponennya keluar gagasan itu, tinggal Umno bersendirian.
    (2) Umno Sabah pula sakit teruk menjelang PRU 14 apabila sebahagian anggota mereka keluar menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) bersama-sama Shafie Afdal.
    (3) Umno Sabah kemudiannya jatuh nazak selepas PRU 14 apabila hampir semua wakil rakyat mereka keluar parti selepas kalah dalam pilihanraya tersebut.
    (4) Belum ada sebarang petunjuk gelombang yang melanda siri-siri PRK di Semenanjung yang memenangkan BN telah sampai di Kimanis.
    (5) Isu-isu bersifat lokal belum cukup kuat untuk melonjakkan sokongan kepada BN untuk memenangi pertembungan ini.

    Saya hormat kepada ILHAM Centre kerana secara umumnya dapatan-dapatan kaji selidiknya sebelum ini secara konsisten ditunjukkan sebagai tepat ataupun hampir tepat.

    Begitupun, hipotesis awal ILHAM Centre mengenai PRK Kimanis ini kelihatan sedikit pra-matang tanpa mengambil kira beberapa faktor lain sebagai pemboleh-ubah.

    Istilah-istilah seperti “BN lumpuh sepenuhnya”, “Umno Sabah sakit teruk” dan “Umno Sabah jatuh nazak” seperti diselaputi emosi dan kurang objektif tanpa perincian bukti.

    Soalan yang lebih relevan ditanya umpamanya ialah apakah tindakan wakil-wakil rakyat Umno keluar parti disokong atau diikuti dengan tindakan sama oleh ahli-ahli Umno.

    Elok juga untuk dilihat sama ada ramalan Presiden PAN, Mohamad Sabu, seawal 25 Ogos 2019 lagi bahawa calon Warisan akan menang besar tepat atau tersasar.

    DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 6/1/2020