Perbezaan agama bukan alasan perpecahan keluarga

    TAMBUN: Murid PASTI Al-Aisar, Aalaisyah Aish Nur Islam Abdullah, 5, anak kepada seorang ibu tunggal muallaf antara menjadi perhatian di premis di Medan Klebang Restu, di sini.

    Advertisement

    Si cilik tersebut hadir mendapat didikan di institusi pra-sekolah Islam milik PAS ini setiap hari ditemani datuk dan neneknya yang bukan-Islam kerana ibunya bekerja di Johor.

    “Saya okay (baik) sahaja menjaga cucu saya ini. Di rumah, saya juga selalu ingatkan dia untuk solat. Bila bulan puasa (Ramadhan) saya juga akan faham dan benarkan anak cucu saya yang Islam untuk puasa seperti Muslim lain.

    “Bagi saya, perbezaan agama yang wujud dalam keluarga kami ini tidak menjadi masalah untuk saya terus hidup bahagia bersama keluarga saya.

    “Malah saya juga hormati permintaan anak saya untuk hantar cucu yang Islam ini ke PASTI untuk dapatkan didikan agama yang baik,” ulasnya.

    Di PASTI Al-Aisar, Aalaisyah disifatkan oleh guru-gurunya sebagai murid yang pendiam, namun aktif memberi reaksi terhadap pelajaran termasuk Bahasa Arab dan Peribadi Muslim.

    Ketua Guru PASTI Al-Aisar, Nor Amizah Ahmad menyatakan betapa keluarga murid itu antara teladan untuk masyarakat mengenai hidup berbilang kaum, bangsa dan agama yang memerlukan keharmonian dikekalkan dengan sifat saling hormat. – HARAKAHDAILY 6/1/2020