Tempoh pelantikan MPKK sehingga 31 Dis 2020

    KOTA BHARU: Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) masih lagi beroperasi di Kelantan memandangkan pelantikan ditetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk tempoh dua tahun.

    Advertisement

    Pelantikan bagi 11 ahli MPKK bagi setiap mukim di Kelantan akan berakhir 31 Disember hadapan, selepas pelantikan diiktiraf kementerian terbabit bermula Januari 2019.

    Pengarah Urusetia Majlis Penghulu Kelantan Jamaluddin Ishak berkata, peranan MPKK masih lagi berjalan seperti biasa memandangkan belum ada hitam putih daripada kementerian berkaitan.

    Katanya, sebanyak 636 MPKK terdapat di Kelantan masih lagi berjalan dan boleh memohon geran kepada kementerian untuk mendapat peruntukan 2020.

    “MPKK terbabit dipengerusikan setiap penghulu mukim dengan dibantu setiausaha dan sembilan lagi ahli yang dilantik kerajaan negeri tahun lepas,” katanya di sini.

    Bagaimanapun kata beliau nama lima ahli MPKK yang sepatutnya mewakili Pakatan Harapan (PH) tidak diserah kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan sehingga sekarang.

    Sebelum ini Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sivarasa Rasiah dilapor berkata penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) bermula 1 Januari 2020 di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis dan Sarawak.

    Menurutnya keputusan itu diambil memandangkan MPKK dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di negeri terbabit tidak berfungsi dengan baik untuk menyampaikan maklumat tentang dasar kerajaan kepada rakyat.

    Malah kerajaan Kelantan menghantar surat rasmi kepada kementerian terbabit bagi mendapatkan maklumat rasmi mengenai MPKK, namun tidak dijawab sehingga sekarang.- HARAKAHDAILY 6/1/2020