Kebakaran di Australia satu iktibar

    KRISIS kebakaran belukar yang begitu buruk melanda negara Australia amat mendukacitakan sehingga terpaksa memindahkan lebih 4,000 penduduk di daerah Mallacoota, Victoria ke kawasan yang lebih selamat.

    Advertisement

    Akibat kebakaran itu yang memusnahkan kira-kira lima juta hektar tanah, seramai 24 orang terkorban di seluruh negara dan hampir 2,000 rumah telah musnah yang melibatkan tiga negeri di Australia bermula sejak September tahun lalu.

    Selain itu, Ahli Ekologi dari Universiti Sydney kini menganggarkan 480 juta spesies mamalia, burung dan reptilia telah terkorban sejak empat bulan yang lalu dan angka itu dijangka terus meningkat.

    Kebakaran belukar itu juga menyebabkan kira-kira 8,000 koala telah mati terbakar iaitu satu pertiga daripada seluruh populasi koala di New South Wales.

    Dengan fenomena alam yang buruk berlaku di Australia, saya berharap seluruh umat Islam di Malaysia mengambil ibrah dengan tidak sewenangnya melakukan pembakaran terbuka yang mengundang kesan yang besar atau memusnahkan hutan untuk kepentingan pihak tertentu selain sentiasa bertaubat dan berdoa kepadaNya supaya krisis alam sekitar yang berlaku di Australia tidak berlaku di negara kita.

    Pada masa yang sama, perundangan dan penguatkuasaan yang diwujudkan di Malaysia perlu lebih tegas dan relevan dengan krisis pencemaran alam sekitar yang berlaku pada masa kini.

    Selain mengenakan hukuman yang lebih berat kepada penjenayah-penjenayah alam sekitar tanpa berkompromi, sebarang isu pencemaran yang berlaku di negara ini juga perlu ada jalan penyelesaian yang lebih komprehensif dan holistik demi menjamin kelestarian alam sekitar.

    Tambahan pula, alam sekitar sewajarnya dipelihara dengan bersungguh-sungguh dan tidak sesekali dirosakkan oleh tangan-tangan manusia yang tidak bertanggungjawab.

    Kesedaran penjagaan alam sekitar perlu dipupuk dalam jiwa rakyat Malaysia secara berterusan dengan tidak membuang sampah merata-rata tempat, mengamalkan budaya kitar semula, tidak memusnahkan hutan dan memelihara sungai daripada tercemar.

    “Islam Memimpin Perpaduan”

    YB CHE ALIAS HAMID
    Ahli Parlimen Kemaman – HARAKAHDAILY 7/1/2020