Muslim Uyghur: Mereka seperti satu jasad

DEWAN Muslimat PAS kawasan Puchong mengutuk sekeras-kerasnya  penindasan Kerajaan China terhadap Muslim etnik Uyghur di Wilayah Xinjiang. Etnik ini telah ditindas dengan penuh kezaliman tanpa perikemanusiaan dalam  beberapa  siri kekejaman yang dilakukan kepada etnik Muslim Uyghur.

Artikel ‘Celaka sungguh China Komunis’ penulisan Abdul Muein Abadi menyatakan Kerajaan Komunis China telah menahan berjuta umat Islam Uyghur  dan menyuntik ubat pencegahan kehamilan ke atas para wanita Islam semata-mata untuk menghapuskan identiti dan keturunan umat Islam Uyghur. Tindakan Kerajaan China sangat bertentangan dengan asas hak kemanusiaan yang diajar oleh Islam. Sebagai contoh, orang bukan Islam berhak mendapat perlindungan dalam sebuah negara Islam dan menikmati keamanan .

Kami menyeru agar seluruh rakyat Malaysia terus menyebarkan fakta seputar penindasan Uyghur melalui media massa yang kian meluas seperti Facebook, Instagram dan Twitter agar maklumat-maklumat ini sampai ke setiap penjuru Malaysia. Selain itu, marilah sama-sama memboikot produk daripada China agar lumpuh ekonomi mereka.

Kami  juga menyeru kepada semua umat Islam untuk mengadakan Solat Hajat  dan Qunut  Nazilah  khas buat umat Islam etnik Uyghur agar diberikan kekuatan dan bantuan pertolongan dari Allah S.W.T. Semoga Allah sentiasa memberi kesejahteraan kepada mereka dan menetapkan aqidah mereka sentiasa dalam aqidah Islam. Yakinlah bahawa Allah adalah sebaik-baik tempat memohon hajat.

Dari Nabi S.A.W, Baginda bersabda:

Advertisement



“Perumpamaan kaum Mukminin dalam berkasih sayang dan persaudaraan sesama mereka adalah seperti satu jasad. Jika salah satu anggota badan sakit, maka seluruh badan akan turut merasa sakit dengan berjaga malam dan demam.”

(Ahmad – 17654)



NORZAIHAN ISMAIL
Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Puchong – HARAKAHDAILY 7/1/2020