Perlu sebab restoran operasi lebih 12 malam

    KOTA BHARU: Peniaga kedai makan yang ingin meneruskan jualan melebihi jam 12 malam perlu mengemukakan surat permohonan kepada Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan (PBT).

    Advertisement

    Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, pada masa yang sama permohonan itu perlu dinyatakan sebab yang munasabah kenapa kedai mereka perlu beroperasi selepas jam 12 malam.

    Katanya, bagi tempoh dua bulan ini kerajaan negeri masih memberi ruang kepada peniaga yang hendak mengubah masa jualan sehingga jam 12 malam.

    “Ini kerana ada sebahagiannya beroperasi sampai jam 2 pagi,” katanya kepada media selepas majlis penyampaian watikah pelantikan Ahli Majlis PBT Negeri Kelantan 2020 di Dewan Bunga Kota Darul Naim hari ini.

    Tahun lepas kerajaan negeri merancang menghadkan operasi restoran sehingga jam 12 malam bagi mengurangkan gejala sosial. – HARAKAHDAILY 7/1/2020