Jangan jadikan MARA ‘kambing hitam’

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) berhasrat untuk menutup MARA Corporation dengan meninggalkan sektor pelaburan dan menjual aset-aset perniagaannya bagi mengecilkan skop dan hanya memberi fokus kepada pendidikan dan keusahawanan sahaja.

Advertisement

Menurut Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia, Shahir Adnan, MARA perlu merujuk kembali kepada sejarah penubuhan MARA itu sendiri.

“MARA ditubuhkan pada 1 Mac 1966 di bawah Akta Parlimen selepas Kongres Ekonomi Bumiputera yang pertama mendesak ekonomi Melayu diperkukuhkan.

“Fokus dan matlamat MARA bukan hanya kepada pendidikan dan keusahawanan tetapi merangkumi aspek yang lebih luas untuk merancakkan ekonomi Melayu Bumiputera, terutama di luar bandar,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, MARA Corporation adalah firma pelaburan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang diwujudkan dengan matlamat untuk memegang aset keuntungan.

Dalam masa yang sama tambahnya, ia memberikan pulangan kepada MARA melalui pengurusan dan penambahbaikkan prestasi syarikat.

Tambahnya, MARA Corporation perlu mengekalkan objektif terasnya ke arah pembangunan sosial Bumiputera.

Berikutan itu, beliau berkata pihaknya menggesa MARA Corporation, di bawah pengerusinya, Akhramsyah Muammar Ubaidah, untuk memperincikan hala tuju dan pelan pelaburan di bawahnya.

“Ia supaya menjadikan cabang perniagaan MARA ini berdaya saing dan memberikan pulangan perniagaan kepada MARA dan seluruh rakyat Malaysia.

“Walaupun pengerusinya merupakan lantikan politik kerajaan Pakatan Harapan (PH), jangan jadikan MARA Corporation sebagai kambing hitam untuk menghakis kuasa ekonomi Bumiputera,” ujarnya.

Memetik laporan berita FMT hari ini, Pengerusi MARA, Dr Hasnita Hashim dalam surat kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata MARA akan menutup semua perniagaan dan pelaburannya dan hanya memberi tumpuan kepada pendidikan dan pembangunan usahawan. – HARAKAHDAILY 8/1/2020