PAS Kulai selami derita ibu tunggal tiga anak

    KULAI: PAS Kawasan Kulai berusaha memastikan setiap aduan diterima mengenai penduduk dalam Parlimen ini diberikan perhatian dan tindakan dalam menangani hal ehwal mereka terutama melibatkan golongan asnaf.

    Kelmarin, Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) PAS Kawasan Kulai bersama PAS Cawangan Bandar Putra Satu telah menyantuni penduduk yang memerlukan bantuan berikutan masalah hidup didepani mereka.

    Advertisement



    Ziarah dan penyampaian sumbangan tersebut telah dwakili sendiri oleh Yang DiPertua PAS Kulai, Abdul Aziz Jaafar diiringi Setiausaha PAS Kulai, Ahmad Tobroni Abu Bakar dan juga Pengerusi LKK PAS Kulai, Mat Yassim Mahmood, di sini.

    Antara penerima tersebut adalah Noraini Ismal, 38, yang kini menyara tiga anaknya seorang diri dan bergantung sepenuhnya pendapatan bekerja sebagai operator di sebuah kilang elektronik di Kulai.

    Hadir sama di dalam program ziarah kebajikan di Kampung Pertanian pula ialah Bendahari PAS Cawangan Bandar Putra Satu, Hamdan Astopa dan Ahli-ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Kulai.

    “Anak kedua saya, Mohd Hazim Dahlan, 9, mengalami patah tulang betis ketika bermain bola bersama rakan-rakan dua hari sebelum mula persekolahan baru- baru ini,” adunya.

    Beliau turut menyatakan perasaannya yang penuh hiba kerana terpaksa menyara anak-anak dalam keadaan tanpa suami di sisi di mana mereka telah berpisah sudah hampir 5 tahun.

    “Bukan itu sahaja, anak sulung saya, Mohd Fakhrullah,11, terpaksa mengorbankan waktu belajarnya untuk membantu saya menjaga adiknya ketika saya pergi bekerja.

    “Dengan gaji hanya RM1100, saya perlu membayar pengasuh anak RM500, sewa rumah RM180, pengangkutan van sekolah RM190 dan selebihnya baru boleh untuk keperluan harian yang lain,” tambah beliau.

    Sementara itu, Aziz mengalu-alukan sebarang bentuk infak orang ramai bagi menyalurkan sumbangan pada PAS Kulai bagi membantu golongan yang memerlukan.

    Keprihatinan dan sumbangan orang ramai amat diperlukan bagi melaksanakan usaha murni ini dengan sumbangan ke akaun Maybank 551100701033 atas nama PAS Kawasan Kulai.

    Atau boleh menghubungi nombor berikut, 0196221232 (Mat Yassim) atau 0197166234 (Haji Hishamudin). – HARAKAHDAILY 8/1/2020