PAS Pahang jana pendapatan melalui OneXoX

    TEMERLOH: PAS Negeri Pahang dijangka akan menjana satu lagi pendapatan iaitu infak melalui Telco bermula tahun 2020 ini, demikian kata Bendahari PAS Pahang, Ustaz Shahril Azman Abd Halim al-Hafiz.

    Menurutnya, strategi yang diambil ialah dengan meramaikan lagi pengguna syarikat telekomunikasi OneXoX termasuk melalui wakil-wakil daripada PAS Kawasan dan individu.

    “Bermula tahun ini kita akan merancak dan memperhebatkan lagi kempen supaya ahli-ahli PAS menggunakan perkhidmatan syarikat ini.

    “Manfaatnya bukan sahaja dari sudut ekonomi tetapi juga memberi pulangan pahala yang berpanjangan iaitu di samping kita top up, dengan sendirinya memberi sumbangan kepada PAS yang akan dituliskan sebagai satu sedekah.

    “Seperti yang kita maklum, pahala sedekah sangat banyak manfaatnya termasuk boleh menghapuskan dosa,” jelasnya.

    Shahril yang juga ADUN Jengka menjelaskan demikian selepas selesai mengadakan perbincangan dengan wakil OneXoX, Halmi Ismail di pejabat Perhubungan PAS Pahang, di sini hari ini.

    Advertisement

    Beliau mengharapkan, jika boleh 50 peratus daripada 60,000 keseluruhan ahli PAS di Pahang dapat menggunakannya, maka akan memberikan infak kepada PAS Negeri, Kawasan dan individu yang mengusahakannya.

    “Walaupun kita sudah lama dengan OneXoX iaitu sejak 2013, tapi bermula tahun 2020 ini kita akan menggiatkannya lagi melalui beberapa strategi.

    “Jadi saya sebagai Bendahari PAS Pahang, menyeru kepada semua ahli PAS supaya boleh menukar sim kad mereka kepada OneXoX ini kerana tidak ada apa yang merugikan kita.

    “Bahkan, memberikan kebaikan. Di samping kita menggunakan teknologi yang ada hari ini pada masa yang sama kita telah bersedekah dan akan imarahlah program kebajikan, dakwah dan semua yang berkait dengan Islam itu,” tegasnya.

    Dalam pada itu, Ustaz Shahril memberitahu dalam tempoh terdekat akan mengadakan perbincangan dengan lebih lanjut di peringkat Bendahari Kawasan-kawasan bagi menjana dengan lebih hebat lagi. – HARAKAHDAILY 8/1/2020