PAS setia komited bersama perjuangan Palestin

    PUTRAJAYA: PAS terus komited bersama dengan perjuangan untuk membebaskan Palestin serta sokongan agar tidak tunduk kepada sebarang tekanan daripada musuh negara umat Islam itu.

    Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman menegaskan perkara tersebut selaku wakil Ahli-ahli Parlimen PAS ketika hadir ke Upacara Memperingati dan Pelancaran Revolusi Palestin.

    Advertisement



    Majlis yang juga dikenali sebagai Al-Quds: Modal dan Mahkota Mutiara itu juga meraikan Ulang Tahun Ke-55 Gerakan Pembebasan Kebangsaan Palestin (FATAH) di Shaftbury Hall, Cyberjaya, di sini baru-baru ini.

    Program anjuran FATAH ini telah dirasmikan oleh Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu A’li dan turut dihadiri wakil Yayasan Isra’ Malaysia, Abdullah Ismail dan Presiden Majlis Belia Malaysia, Jufitri Joha.

    Menurut Ustaz Tarmizi, pembebasan Palestin dan Masjid al-Aqsa adalah tanggungjawab seluruh umat Islam tanpa mengira bangsa dan negara di mana PAS setia komited dengan agenda tersebut.

    “Malaysia telah lama membuat perhubungan dengan pihak Kerajaan Palestin di Baitulmuqaddis dan sejarah mencatat kehadiran bekas Presiden Palestin, Sheikh Yasir Arafat ke Malaysia pada tahun 1984.

    “Ia manifestasi hubungan yang sangat akrab antara kedua negara. Saya harap seluruh kesatuan perjuangan Palestin sama ada gerakan FATAH, HAMAS dan Jihad Islam perlu mewujudkan kesatuan ummah.

    “Semua mesti bersatu untuk bersama berganding bahu untuk membebaskan Palestin dan menghadapi musuh yang satu iaitu Zionis Israel,” serunya.

    Beliau turut berpesan dengan ingatan bahawa umat Islam akan dimuliakan dan diberi kemenangan hanya dengan meletakkan Allah dan Rasul S.A.W sebagai puncak utama perjuangan. – HARAKAHDAILY 8/1/2020