Persatuan ulamak pertama di Malaya

PERGERAKAN para ulamak sebagai sebuah organisasi atau jamaah adalah sangat penting dalam menyampaikan dakwah Islam kepada masyarakat. Sejak sekian lama, para ulamak Melayu yang bertumpu di pondok-pondok tidak mempunyai organisasi dan tidak mendapat perhatian pemerintah, terutama pada zaman penjajah, kerana mereka tidak bersatu. Pengasas PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan menyebutkan bahawa para ulamak menjadi hina dan terpinggir kerana tidak bersatu, dan hal ulamak belum bersatu dan tidak mempunyai persatuan ini menjadi perhatian besar beliau.

Idea-idea penyatuan ulamak ini telah membawa kepada penubuhan Jam’iyat al-Fathaniyah oleh Sheikh Wan Ahmad di Makkah pada 1873 dan Jam’iyat ar-Rusyidiyah oleh Raja Ali Kelana di Pulau Penyengat pada 1880. Tetapi ia belum benar-benar berkesan, bahkan hanya berfungsi sebagai persatuan umat Islam yang separa politik. Murid Sheikh Wan Ahmad, Tok Kenali yang bergiat di Kota Bharu telah menubuhkan Jam’iyat al-‘Asriyah di bandar itu pada 1915, yang memulakan budaya organisasi di Kelantan dalam konteks perkembangan kesedaran politik. Selepas wafatnya Tok Kenali pada 1933, murid-muridnya yang bertumpu di Pondok Ahmadiyah Bunut Payung telah menggerakkan badan ulamak yang pertama di Malaya pada 1936.

Advertisement

Badan yang dikenali sebagai Jabhah al-Ulamak ad-Diiniyah Kelantan ini ditubuhkan oleh murid Tok Kenali, Tuan Guru Haji Abdullah Tahir Ahmad yang juga pengasas Pondok Bunut Payung. Tujuan utama persatuan ini ialah untuk mengembleng para ulamak Kelantan supaya bersatu padu dalam memperkasakan dakwah dan kemajuan umat. Pada 1936, Tuan Guru Haji Abdullah Tahir bersama adiknya, Tuan Guru Haji Mokhtar Ahmad telah mengumpulkan ulamak-ulamak sekitar Kota Bharu untuk menubuhkan persatuan ini. Ia muncul lebih awal daripada Jam’iyat ad-Dakwah al-Islamiyah Singapura (1938), Persatuan Ulamak Kedah (1946), Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) (1951) dan Nahdatul Ulamak Malaya (1956). Kerana itu, jabhah ini boleh dianggap sebagai persatuan ulamak yang tertua di negara ini.

Menurut Ustaz Yusof Zaki Yaakub, jabhah ini adalah persatuan ulamak yang pertama di Kelantan, di mana ia telah menjalankan kegiatan dakwah di setiap jajahan (daerah) di Kelantan, dan ia menjadi persatuan tunggal yang berhasil menyatukan sebahagian besar ulamak Kelantan di bawah satu payung organisasi. Pada 1940-an, persatuan ini bukan sahaja berdaftar dengan kerajaan, tetapi ia juga diiktiraf oleh Kerajaan Kelantan sehingga wakilnya, Tuan Guru Haji Mokhtar Ahmad dilantik oleh Sultan Kelantan sebagai anggota Penggubal Undang-undang Tubuh Negeri Kelantan mewakili para ulamak. Persatuan ini juga disebutkan telah mengadakan pelbagai program dan aktiviti dalam melatih kader-kader ulamak di pondok-pondok di Kelantan untuk meningkatkan kebolehan berkhutbah dan berdakwah.

Pada peringkat awal penubuhannya, Jabhah al-Ulamak ad-Diiniyah ini dipimpin oleh Tuan Guru Haji Mokhtar, Kadi Pasir Mas sebagai Yang Dipertua, tetapi pada awal 1939, beliau bertukar menjadi Kadi Bachok. Kerana itu, jawatan Yang Dipertua Jabhah diganti oleh Tuan Guru Haji Abdullah Tahir beberapa tahun sehingga  Tuan Guru Haji Mokhtar menamatkan khidmatnya sebagai Kadi Kuala Kerai pada 1948. Setelah itu, Tuan Guru Haji Mokhtar kembali memimpin persatuan ini sehingga 1950, dan terpaksa melepaskan jawatannya setelah dilantik sebagai Pengetua Kuliah al-Lughah wa ad-Diin, Pekan, Pahang. Kemudian, jawatan itu beralih semula kepada Tuan Guru Haji Abdullah Tahir sehingga 1956.

Oleh kerana Pondok Bunut Payung menjadi pusat kegiatan persatuan ini, ramai sekali ulamak yang terlibat termasuklah Tuan Guru Haji Hussein Rahimi (Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat), Tuan Guru Haji Yahya Junid (Ketua Dewan Ulamak PAS Kedah), Tuan Guru Haji Abdullah Abbas Nasution (AJK Dewan Ulamak PAS Pusat), Tuan Guru Haji Othman al-Yunusi (Pesuruhjaya PAS Kedah), Tuan Guru Haji Abdul Wahid (Ketua Dewan Ulamak PAS Melaka), Tuan Guru Haji Hassanuddin Berhala Gantang, Tuan Guru Haji Mustafa Abu Bakar (Ahli Perhubungan PAS Kelantan), Tuan Guru Haji Abdul Aziz Abu Bakar, Tuan Guru Haji Omar Daud Kubang Bemban, Tuan Guru Haji Yaakub Berangan (ayah Ustaz Dato’ Bentara Kanan Haji Ahmad, Timbalan Mursyidul Am PAS) dan lain-lain. Mereka ini merupakan kader-kader ulamak yang dibentuk di Pondok Bunut Payung menerusi jabhah ini.

Sebenarnya, Jabhah al-Ulamak ad-Diiniyah boleh dianggap berperanan penting terhadap perluasan pengaruh PAS di Kelantan. Ketika ia dipimpin oleh Tuan Guru Haji Abdullah Tahir pada 1952, PAS telah meluaskan pengaruhnya di Kelantan apabila Naib Yang Dipertua PAS, Tuan Guru Haji Hussein Che Dol berkunjung ke pondok ini dalam rangka tersebut. Selepas Tuan Guru Haji Abdullah Tahir menyertai PAS, hampir semua ulamak pondok Kelantan bersama dengan PAS. Pada 1955, Tuan Guru Haji Mokhtar, pengasas jabhah telah dipilih sebagai calon PAS di Pasir Mas dalam Pilihan Raya Umum 1955. Akhir tahun yang sama, Madrasah Ahmadiyah atau Pondok Bunut Payung telah menjadi tuan rumah Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Keempat pada 26-28 Disember 1955. Empat tahun kemudian (1959), PAS telah berhasil menguasai Kelantan dalam pilihan raya umum.


MOHD FADLI GHANI
Ketua Lajnah Sejarah dan Arkib, Sidang as-Sabiqun PAS Pusat
12 Jamadil Awal 1441
8 Januari 2020 – HARAKAHDAILY 8/1/2020