‘Malaysiaku Berbuah’ jelajah Bagan Serai

BAGAN SERAI: Lajnah Ekonomi, Asas Tani dan Alam Sekitar PAS Kawasan Bagan Serai telah menganjurkan program Pertanian Hidayah ‘Malaysiaku Berbuah’ di Kampung Tua Hujung, Semanggol, di sini baru-baru ini.

Advertisement

Program dengan kerjasama HPA Industries Sdn Bhd ini bertujuan memberi pendedahan kepada para petani khususnya pesawah yang tinggal di sekitar kawasan ini mengenai teknik penggunaan baja organik di samping memelihara alam sekitar.

Menurut Pengerusi Lajnah Ekonomi PAS Bagan Serai, Ustaz Mohamad Azman Chat, penggunaan baja dan racun kimia yang keterlaluan boleh mendatangkan kesan sampingan terhadap kelestarian tanah, termasuk kesan negatif kesihatan-kesihatan petani itu sendiri.

“Bahawa selama ini kita menggunakan banyak bahan kimia dan hari ini insya-Allah kita akan beralih kepada bahan organik yang terbukti akan meningkatkan hasil petani. Inilah usaha kita (PAS Bagan Serai) untuk membantu para petani agar dapat meningkatkan hasil tani,” ujarnya.

Pengasas HPA International, Ismail Ahmad di dalam program itu menerangkan kebaikan penggunaan baja organik cecair keluaran syarikatnya atau lebih dikenali dengan POC di hadapan lebih 150 peserta terdiri yang hadir.

Turut hadir ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria yang dalam ucapan penutup mengharapkan agar program ini akan menjadi contoh kejayaan untuk diikuti dan disebarluas penggunaan sistem organik khususnya di kawasan ini. 

Di samping itu ulasnya, agar program ini berjaya menjadikan orang Melayu khususnya para petani keluar daripada kekangan ekonomi yang dikuasai kelompok tertentu dengan menghasilkan jaringan ekonomi.

Jelasnya, inisiatif itu mesti bermula dari peringkat pengeluaran sehinggalah kepada pemasaran dan penggunaan yang dikuasai semula oleh orang Melayu itu sendiri.

Program itu turut dimeriahkan dengan jualan barangan produk Muslim termasuk jualan foodtruck HPA yang menawarkan jualan Radix Fried Chicken (RFC) iaitu merupakan ayam organik yang digoreng dengan ramuan istimewa. – HARAKAHDAILY 9/1/2020