Mursyidul Am mengadap Raja Perlis

    KANGAR: Isu perpaduan kaum dan umat Islam di negara ini turut dibincang pemimpin PAS bersama Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalulail hari ini.

    Advertisement

    Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin berkata, isu tersebut menjadi fokus utama yang dibincang pada pertemuan tersebut di Galeri Istana Arau.

    Kata beliau, sekarang muncul suara yang cuba mempertikaikan kedudukan orang Melayu, bahasa Melayu dan hak-hak Raja-raja Melayu.

    “Tuanku memberikan respon yang positif dan mengajak seluruh rakyat supaya terus menjaga keharmonian dan perpaduan antara kaum yang kita miliki sekarang,” katanya kepada media selepas kunjungan tersebut.

    Turut berangkat pada perjumpaan tersebut Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

    Hadir sama Mufti Perlis Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin; Ahli Jawatankuasa Majlis Syura Ulamak PAS Tuan Guru Ahmad Ali dan Ketua Dewan Ulama PAS Perlis Ustaz Idris Yaakob.

    Manakala semalam Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjunjung kasih menghadap Yang di-Pertuan Agong.

    Hadir sama Timbalan Presiden PAS Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PAS Ustaz Idris Ahmad, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Dato’ Dr Nik Zawawi Salleh dan Setiausaha Agung PAS Dato’ Takiyuddin Hassan.

    Selain itu Menteri Besar Kelantan Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob dan Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. – HARAKAHDAILY 9/1/2020